RUU Anti Lompat Parti mesti diluluskan pada sidang Perlimen Mac - Bersih





Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menggesa kerajaan BN agar tidak berdolak dalik dalam meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti pada sesi Parlimen Mac ini.


Menurut kenyataan Jawatankuasa Pemandu BERSIH, undang undang berkenaan sangat perlu bagi menjamin integriti calon dan mengembalikan keyakinan rakyat untuk membuang undi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.


Bagaimanapun BERSIH agak skeptikal dengan sikap Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang menyatakan masih lagi belum ada kata sepakat bagi terma “lompat parti” kerana setiap parti mempunyai tafsiran sendiri berkenaan makna dan ruang lingkupnya.


"Kami juga kesal dengan penundaan mesyuarat libat urus bersama Pertubuhan Masyarakat Sivil (CSO) yang dikelola oleh Menteri Undang-Undang pada 17 Februari kerana peningkatan kes Covid-19.


"BERSIH dan CSO lain sangat ternanti peluang untuk bertemu dengan Kementerian tersebut dan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk membincangkan cadangan cadangan pembaharuan termasuk draf Undang-Undang Anti Lompat.


"BERSIH berharap kenyataan Wan Junaidi dan penangguhan libat urus ini bukanlah dalih Kerajaan untuk tidak melaksanakan pembaharuan dan penambahbaikan mustahak sebelum PRU15," kata kenyataan berkenaan.


Menurut kenyataan itu lagi, kegagalan meluluskan RUU Anti Lompat Parti pada Mac mungkin menyebabkan Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik (MoU) yang ditandatangan oleh kerajaan Ismail Sabri dan Pakatan Harapan (PH) pada 13 September tahun lalu berisiko terbubar, dan keadaan politik menjadi tidak menentu.


"BERSIH faham isu lompat parti kompleks dengan pelbagai tafsiran, perundangan, pertimbangan antara parti dan pilihan raya, tetapi untuk mencari penyelesaian sempurna adalah hampir mustahil.


"Kami juga berpandangan pasca Langkah Sheraton, di mana lompat parti telah menyebabkan keruntuhan Kerajaan Persekutuan sebanyak dua kali dan secara langsung atau tidak langsung mencetuskan perubahan di lapan Kerajaan Negeri dalam masa dua tahun, penggubalan undang-undang ini sangat penting untuk mencegah lompat parti di Malaysia bagi mengembalikan kestabilan politik," kata mereka.


Oleh yang demikian, BERSIH menggesa agar dipertimbangkan beberapa perkara mengenai RUU tersebut seperti hal wakil rakyat meninggalkan partinya untuk menyertai parti lain atau menjadi bebas; Wakil rakyat bebas menyertai parti politik; Wakil rakyat meletakkan jawatan secara sukarela daripada parti atau kerusi dan Wakil rakyat dipecat oleh partinya


Kata mereka, dalam Undang-Undang Anti Lompat tradisional, sekiranya perkara tersebut terjadi, kerusi mereka akan diisytiharkan kosong secara automatik dan pilihan raya kecil akan berlangsung.


BERSIH, menurut kenyataan itu, lebih cenderung kepada Undang-Undang Anti Lompat melalui Prosedur Pecat yang tidak akan secara automatik mengosongkan kerusi pelompat parti tetapi menyediakan prosedur untuk pengundi pelompat parti mengosongkan kerusi tersebut.


Bagaimanapun BERSIH akan menyokong cadangan undang-undang anti lompat kerajaan dengan beberapa perkara perlu diselesaikan.


"Mansuhkan Perkara 48(6) di mana wakil rakyat meletakkan jawatan daripada kerusinya dihalang bertanding selama lima tahun. Hal ini akan memberi laluan kepada wakil rakyat meletak jawatan kerana prinsip daripada partinya dan bertanding di kerusi yang sama untuk mendapat mandat baru daripada pengundi. Sekiranya Perkara ini tidak dimansuhkan, wakil rakyat akan berhadapan dipecat sebelum dibenarkan bertanding semula.


"Negeri perlu diberikan kebebasan untuk menggubal undang-undang anti lompat sendiri, sama ada anti lompat tradisional, anti lompat melalui prosedur pecat seperti cadangan BERSIH dan Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Said Othman, atau kaedah lain," kata mereka lagi.


Sehubungan itu, BERSIH menggesa Menteri Undang-Undang dan kerajaan PM Ismail Sabri agar membentangkan RUU Anti Lompat pada sidang Parlimen bulan Mac dan memastikan usul tersebut menjadi undang-undang selepas mengambil input daripada Ahli Parlimen, CSO dan orang ramai.


 

No comments: