PESANAN BUAT SYED SADDIQ- BERI BETIS, JANGAN MINTA PEHA




Keadilan telah merealisasikan 'khemah besar' sebagaimana yang diputuskan oleh Majlis Presiden PH. Meskipun idea khemah besar ini banyak menimbulkan kontroversi khususnya dalam parti Keadilan, namun sikap Presiden Keadilan yang suka bertoleransi dengan rakan-rakan dalam PH berjaya membuka peluang kepada parti Muda untuk mendapatkan tiga kerusi Dun yang ditawarkan oleh Keadilan dalam PRN Johor

Malangnya, mungkin memang sifat anak muda yang gelojoh dan pelahap, mereka tidak menghargai pemberian ini bahkan merengek dan akhirnya mengugut Keadilan kerana mereka mahu kerusi yang mereka boleh menang. Siapa boleh jamin kemenangan dalam pilihanraya? Keadilan sendiri boleh jaminkah untuk menang di semua kerusi yang ditandingi? Maka, bekerjalah untuk mencapai kemenangan dan bersyukurlah apa yang diperolehi. Tidakkah Syed Saddiq sedar di dalam Keadilan sendiri ramai yang kecewa tidak terpilih sebagai calon setelah banyak melakukan kerja di kawasan-kawasan mereka? Namun, demi persahabatan dan konsep khemah besar, Keadilan beri juga kepada Muda beberapa kerusi ini.

Sebagai parti baru, tambahan pula Muda bukan dari PH, sewajarnya Muda terima tiga kerusi tersebut tanpa banyak soal. Seawal parti Keadilan wujud dan kali pertama bertanding dalam pilihanraya, Keadilan juga meraih kerusi dari Pas kerana Pas adalah parti yang jauh lebih senior dari Keadilan. Keadilan berunding dengan Pas waktu itu dan tidak banyak songeh menerima saja berapa jumlah kerusi yang Pas berikan ketika itu. Memang ada yang menang dan ada yang kalah bahkan tidak hairan ada yang Keadilan hilang deposit kerana Keadilan masa itu adalah parti baru. Parti baru mesti bermula dengan belajar erti kesusahan bukannya terus mahu kesenangan.

Amat silap jika Muda mahu mengugut Keadilan. Anwar Ibrahim selalu tunduk dengan rakan-rakan yang suka berbincang. Tapi Anwar tidak pernah tunduk dengan ugutan. Muda silap besar jika mahu mendapatkan sesuatu dengan cara 'kasar' kerana Keadilan sudah biasa berdepan dengan kekasaran.

Jika Muda merasakan bahawa 'jika kami gagal dapatkan apa yang kami mahu, maka ayuh kita bertempur", dan jika itulah yang dimaksudkan dengan 'khemah besar', maka saya yakin Keadilan telah bersedia untuk menyahutnya.

WAN FAUZULDIN WAN SAMAD

Ketua Cabang Paya Besar

 

No comments: