Saya membaca Free Malaysia Today pagi ini 18 Februari 2022. Saya mengurut dada menahan sabar apabila portal FMT tersebut melaporkan Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberi amaran akan berlaku pertentangan antara Muda dengan Parti Keadilan dalam Pilihanraya Negeri Johor ini jika rundingan tentang kerusi menemui kegagalan.
Garang sungguh amaran Presiden Parti Muda yang baru berusia empat bulan tersebut.Kalau bayi, baru berumur empat bulan belum boleh makan nasi atau makanan keras. Kena minum susu sahaja. Perut bayi belum kuat untuk menghadam.
Jangan marah analogi seperti ini digunakan. Parti Muda satu hari nantipun akan jadi tua.Syed Saddiq orang Johor.Penulis ini pun orang Johor. Kita di Johor ibarat cucu cicit Tun Seri Lanang dan Raja Ali Haji.
Orang Johor bahasanya lembut, jika berkata dan berhujah, ia berkata dan berhujah dengan sopan dan santun, seperti madah Sasterawan Negara Usman Awang (seorang lagi anak Johor yang terbilang).
Syed Saddiq adalah pemimpin generasi baru yang punya masa hadapan yang cerah. Memang elok dan tepat melangkah dengan tangkas dan berani.
Tetapi awas juga, anda baru kali pertama memimpin sebuah parti baru menghadapi pilihanraya. Lalu jangan cepat memberi amaran dan ugutan. Jangan cepat menghunus keris untuk menikam, penulis bimbang, takut-takut nanti akan tertikam dengan keris sendiri.
Penulis ini tidak banyak pengalaman. Sekadar mengenal politik di Johor sejak tahun 1974 lagi. Sejak itu mengenal uaha pihak-pihak parti pembangkang berusaha membina fron pembangkang.
Penulis pernah ikut serta dalam usaha itu sejak tahun 1986 ketika penulis menjadi Setiausaha Agung sebuah parti kiri yang radikal, lebih radikal ideologinya dari Parti Muda sekarang.
Tetapi kami, walaupun radikal, jika bermesyuarat, kami berbincang baik-baik.Tidak pernah kami gunakan ugutan dan ancaman sesama parti pembangkang.
Syed Saddiq pemimpin Muda memang mempunyai karisma. Anda mempunyai ramai pengikut di alam maya. Tetapi di alam nyata, jangan sesekali memberi amaran atau ugutan kepada Parti Keadilan.
Presiden Muda kena pelajari sejarah kami Parti Keadilan. Parti kami lahir dari perjuangan. Kami membesar di jalanraya dan di dalam penjara. Kami tidak akan berundur jika dicabar oleh sesiapapun, hatta kepada mereka yang cepat menghunus pedang.
Pantang kami berundur. Lihat bendera kami berwarna merah, itu maknanya keberanian berjuang.Lihat bendera kami berwarna biru, itu maknanya kami mencintai perdamaian dan keadilan.
Maka berhati-hatilah jika mengeluarkan kata-kata, wahai sahabatku Syed Saddiq. Mungkin penulis ini sudah tua tetapi orang tua ini kenal perangai “anak muda julung berkeris”.
Hassan Abdul Karim
Ahli Parlimen Pasir Gudang
18 Februari 2021 (Jumaat)