Sikap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tidak bersungguh sungguh berkempen agar rakyat Malaysia di luar negara mendaftar untuk mengundi secara pos dan kesukaran mendaftar melalui laman web suruhanjaya itu menimbulkan persepsi seolah olah ada pihak yang tidak mahu mengurangkan rakyat membuang undi pada 12 Mac ini.
Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan SPR, sekiranya mereka benar benar bertanggungjawab dalam memastikan setiap warganegara Malaysia di luar negara berupaya mengundi, maka tempoh pendaftaran secara pos perlulah dilanjutkan.
"Ikhtiar SPR dalam isu undi pos ratusan ribu di Singapura ternyata gagal.
"Sekadar pengumuman dan tidak ada ikhtiar tambahan, seolah olah ada suatu muslihat dengan mana mana pihak untuk mengurangkan minat (mengundi).
"Pertama tidak membenarkan mereka pulang mengundi, kedua tidak membantu secara yang agreasif mendaftar untuk membenarkan mereka mengundi.
Maka oleh yang demikian kalau SPR itu mewakili satu institusi yang menginginkan majoriti rakyat mengundi mereka harus menambah hari, melanjutkan dan tempoh pendaftaran pengundi pos dan mengambil langkah tambahan untuk mengirim wakil ke Singapura bagi membantu proses tersebut," katanya dalam siaran media petang ini.
Tempoh pendaftaran pengundi pos yang tamat pada hari ini menimbulkan kegusaran kepada pemerhati pilihan raya apabila dispekulasikan hanya 1% pengundi daripada ratusan ribu pekerja bangsa Johor yang berada di Singapura telah mendaftar dalam dua hari lalu.