Kukuhkan hak Melayu bukan hingga remehkan kaum lain, kata Anwar




Diterbitkan:  Feb 18, 2022 


Memperkukuhkan kedudukan orang Melayu bukan sehingga meremehkan atau meminggirkan kaum-kaum lain, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Dia berkata demikian ketika melancarkan beberapa judul buku oleh allahyarham bekas presiden Abim, Siddiq Fadzil di Universiti Selangor (Unisel), Shah Alam, hari ini.

“Kekuatan Siddiq (Fadzil) itu (adalah dia) menjelaskan bahawa untuk untuk mengukuhkan kedudukan sebagai Melayu dan semangat Melayu itu (kita) tidak harus meremehkan, meminggirkan budaya dan pandangan kaum lain,” katanya.

Bagaimanapun, Anwar juga mengambil maklum tentang sesetengah pihak yang juga meremehkan orang Melayu.

“Jadi, berbeza pula ada orang mengatakan bahawa untuk Malaysia ini, dia perlekeh Melayu ada banyak juga, ini menjadi masalah sekarang.

“Jadi saya tidak setuju kalau pandangan begitu, jadi apa yg ditekankan oleh Siddiq Fadzil adalah supaya kita berakar kepada bumi Melayu tetapi kita juga terima kenyataan bahawa kita harus angkat martabat rakyat Malaysia dalam konsep kewarganegaraan dan kefahaman Islam,” katanya.

Turut hadir bersama Anwar majlis perasmian Institut Ideas dan Kepimpinan Siddiq Fadzil itu adalah Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan Ahli Parlimen Pandan Wan Azizah Wan Ismail.

Selain itu, Anwar berkata bahawa adalah penting untuk membincangkan identiti Melayu-Islam dalam konteks masyarakat berbilang kaum.

“Bagi saya, wacana tentang (menjadi) Melayu dan Islam adalah sangat penting dalam konteks masyarakat berbilang kaum.

“Apa yang telah dilakukan oleh Siddiq Fadzil, selama beberapa dekad ini, untuk memastikan kita mempunyai pemahaman yang betul tentang apa (maksudnya) orang Melayu dari segi kesedaran budaya, kepakaran bahasa.

“Pada masa sama, anda perlu menghargai hakikat bahawa ini adalah negara berbilang kaum dan oleh itu anda perlu menghormati realiti itu dan bekerja sebagai rakyat serta menekankan isu belas kasihan dan kemanusiaan,” kata Anwar.

Siddiq yang adalah bekas presiden Pergerakan Belia Islam Malaysia (Abim) meninggal dunia Ogos lalu akibat jangkitan paru-paru.

Allahyarham sebelum ini bertindak sebagai pengerusi lembaga pengarah Universiti Sains Islam Malaysia dan pengerusi Institut Darul Ehsan.