Isu beg sekolah berat: Kementerian perlu rombak sukatan pelajaran




 

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa prihatin kepada luahan ibu bapa dan NGO yang mengutarakan isu beg sekolah pelajar berat dan berisiko memberi masalah kepada tubuh badan mereka, terutama murid murid sekolah rendah.

Menurut Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (JKPPH), isu beg murid berat itu yang dibangkitkan sebulan lalu perlu dijawab segera oleh KPM.

"Meskipun banyak pihak termasuk pakar-pakar pendidikan dan kesihatan yang memberi pandangan dan cadangan agar langkah segera diambil oleh KPM, malangnya KPM masih belum mengambil sebarang tindakan.

"JKPPH mengambil berat isu ini kerana ia boleh mendatangkan mudarat kepada murid-murid dalam jangka masa panjang seperti kenyataan yang dikeluarkan oleh pakar-pakar kesihatan," kata jawatankuasa itu dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, JKPPH mencadangkan KPM melaksanakan langkah segera bagi mengatasi masalah berkenaan seperti merombak sukatan pelajaran agar lebih mesra pendigitalan bagi meminimumkan penggunaan buku teks fizikal.

"Buku juga perlu lebih banyak dalam bentuk digital atau e-book untuk semua peringkat.

"Memudahkan urusan mengakses buku teks digital yang digunakan oleh murid-murid termasuk di kawasan luar bandar.

"Juga Kementerian perlu memberikan kuasa autonomi kepada sekolah dan PIBG bagi berbincang dan membuat keputusan kaedah pembelajaran yang sesuai mengikut keperluan masing-masing," kata mereka lagi.

Justeru, JKPPH berharap cadangan berkenaan akan dipertimbangkan oleh pihak KPM dan menggesa Kementerian bertindak segera menjelang pembukaan sekolah sesi 2022/2023.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Pengerusi JK Pendidikan Dr Maszlee Malik, Nik Nazmi Nik Ahmad (Ahli Parlimen Setiawangsa, KEADILAN), Datuk Dr Hasan Bahrom (Ahli Parlimen Tampin, AMANAH), Teo Nie Ching (Ahli Parlimen Kulai, DAP), Natrah binti Ismail (Ahli Parlimen Sekijang, KEADILAN), Steven Sim Chee Keong (Ahli Parlimen Bukit Mertajam, DAP), Rusnah Aluai (Ahli Parlimen Tangga Batu, KEADILAN) dan Sivakumar Varatharaju Naidu (Ahli Parlimen Batu Gajah, DAP).

 

No comments: