Ahmad Fadhli Shaari


KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan didesak untuk menjelaskan mengenai isu peruntukan sebanyak RM15 juta yang disalurkan kepada sekolah-sekolah persendirian Cina.

Dalam masa yang sama, Timbalan Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan berapa jumlah peruntukan yang disalurkan kepada sekolah-sekolah tahfiz swasta pada saat gawat ini.

”Saya telah menghantar soalan untuk Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) yang dijadualkan setiap Selasa dan Khamis sepanjang sidang Parlimen.

“Jika soalan naik, kita nantikan jawapan Menteri Pendidikan. Walau apapun, ia merupakan isu yang wajib memerlukan penjelasan,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Beberapa hari ini heboh mengenai isu sumbangan kerajaan melalui Kementerian Kewangan sebanyak RM15 Juta kepada 63 sekolah persendirian
Cina yang dibawah kelolaan Dong Zong.

Spekulasi ini menimbulkan tanda tanya memandangkan belum ada sebarang kenyataan daripada KPM. – MalaysiaGazette