KENA LAGI LA: Akaun luar pesisir: Saya bukan jenis mahu lari daripada cukai, kata Zahid

 

Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau sedia disiasat atas apa juga kesalahan melibatkan akaun luar negara miliknya di British Virgin Islands

KUALA LUMPUR: Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau sedia disiasat berhubung sebarang kesalahan melibatkan akaun luar negara miliknya di British Virgin Islands (BVI).

“Saya tidak mahu mengambil kesempatan di Dewan yang mulia ini, tapi sila siasat bahawa apa yang dikatakan Jelutong itu ketika saya berada dalam sektor korporat.

“Bila saya menjadi CEO kepada sebuah syarikat yang tersenarai dan ketika itu, syarikat yang saya ketuai mempunyai pelaburan di sebuah negara besar dan mempunyai konsesi daripada negara itu dan ada konsesi untuk IPP (pengeluar tenaga bebas).

“Namun, keuntungan tidak dapat dibawa keluar, sebaliknya diminta untuk dilaburkan semula di negara berkenaan. Tentunya sebagai syarikat yang tersenarai, mahu supaya dividen dapat diberikan kepada pemegang saham,” katanya di Dewan Rakyat.

Zahid berkata, syarikat yang didaftarkan itu sebagai mana tersenarai juga sudah ditutup.

“Jadi jangan sangka saya jenis macam YB Jelutong mahu larikan diri daripada cukai,” kata Zahid.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata demikian menjawab pertanyaan RSN Rayer (PH-Jelutong) mengenai sebuah syarikat berkait dengannya yang mempunyai akaun di BVI pada 1990-an.

Terdahulu, bekas Menteri Kewangan Daim Zainuddin dan beberapa ahli keluarganya serta Zahid adalah antara nama yang disebut dalam pendedahan “Pandora Papers”, mempunyai akaun amanah luar pesisir dalam pendedahan terkini Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ), menurut laporan Malaysiakini.

Portal berita itu turut menerbitkan beberapa perincian berkenaan pendedahan itu.

Malaysiakini turut mendedahkan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz dikaitkan dengan syarikat luar pesisir.

Namun, syarikat tersebut telah ditamatkan atas pelbagai sebab.

Nama lain yang disebut dalam laporan itu ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ahli Parlimen Sipitang, Yamani Hafez Musa dan Ahli Parlimen Selayang, William Leong.

Pendedahan data itu, yang terbesar seumpamanya, melibatkan 2.94 terabait data yang diberikan secara rahsia kepada ICIJ, dan membabitkan hampir 12 juta dokumen dan rekod lain daripada 14 penyedia perkhidmatan luar pesisir yang menubuhkan dan menguruskan syarikat “shell” dan amanah di “syurga cukai” di seluruh dunia.

Nama Tengku Zafrul muncul sebagai Pengarah Capital Investment Bank (Labuan) Ltd, sebuah bank butik yang diperbadankan dalam bidang kuasa luar pesisir Labuan, dalam sejumlah dokumen daripada firma guaman Panama terkemuka, Alemán, Cordero, Galindo & Lee (Algocal).

Zahid turut muncul dalam fail Algocal, yang bertindak sebagai ejen firma bernama Breedon Ltd di BVI.

Breedon ditubuhkan pada September 1996 dengan Zahid sebagai pengarah, sebelum namanya ditukar menjadi Rising Resources (BVI) Ltd pada November tahun itu.

Pada 1999, syarikat itu mempunyai modal saham bernilai USD50,000, tetapi sifat perniagaan ini tidak dinyatakan.

Dokumen terbaru daripada Algocal menunjukkan syarikat itu “dimansuhkan” kerana tidak aktif beberapa tahun selepas penubuhannya. Tidak ada petunjuk mengenai tujuan perniagaan itu ditubuhkan, sementara syarikat dengan nama serupa yang didaftarkan di Malaysia tiada kaitan dengan Zahid.

No comments: