Rejim ini perlu dipantau dengan serius serta tidak diberikan
ruang untuk membuat sesuatu sewenang-wenangnya
Ramai pengamat media
beranggapan bahawa Memorandum Persefahaman di antara kerajaan Malaysia dan
Pakatan Harapan sebagai sesuatu yang bersejarah.
Ada yang lain pula
merasakan memorandum ini tiba tepat pada waktunya bagi menghentikan permainan
politik dan menyelamatkan negara – selepas melihat kepada percubaan Perikatan
Nasional yang tidak efektif bagi menyelamatkan negara dari kegawatan ekonomi
serta kesihatan awam.
Mereka yang mendukung
serta tok dalang di sebalik perjanjian ini merasakan ianya sesuatu yang
menguntungkan semua orang, sekaligus menampakkan kematangan serta
profesionalisme ahli politik Malaysia dari semua pihak.
Dan begitulah
memorandum yang ditanggapi sebagai ‘bersejarah’ ini ditandatangan pada 13
September oleh kedua-dua pakatan politik yang berseberangan ini.
Tok dalang yang
mengumumkan diri mereka sebagai ‘oportunis yang berprinsip’ merasakan ia satu
kemenangan serta tindakan yang masuk akal dan kena pada waktunya.
Support the struggle to build a Malaysia based
on Justice, Freedom, Solidarity:
·
Sign up for Aliran's free daily email
updates or weekly newsletters or both
·
Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran
Negara, CIMB a/c 8004240948
·
Schedule an auto donation to Aliran
every month or every quarter
Ia seakan
menggambarkan kepada mereka bagaimana raksasa berbentuk Perikatan
Nasional/Barisan Nasional yang liar itu dapat dijinakkan, di mana, pada
anggapan mereka, sudah dapat dilemahkan akibat perseteruan dalaman serta
wujudnya kelompok di antara mereka yang mempunyai tujuan masing-masing.
Kini, selain dari
memorandum atau ‘perjanjian-keyakinan-dan-pembekalan’ yang menyaksikan
bagaimana kedua-dua belah pihak berlembut antara satu sama lain, kita juga
mendengar bagaimana Ismail Sabri turut mengisytiharkan bahawa beliau mahu
melayan kita semua sebagai sebuah ‘Keluarga Malaysia’.
Di atas kertas di mana
semuanya berlaku cukup samar, semuanya tampak baik dengan wujudnya usaha
bersama yang bakal menyaksikan permasalahan ekonomi dan kesihatan awam di
Malaysia dapat diuruskan, dan dengan izin Tuhan, diselesaikan.
Itu sebulan yang lalu.
Kita menghargai roda
reformasi – yang mula berputar – walau agak perlahan dalam melihat kepada
berdekad kepincangan institusi dan prosedur serta keengganan banyak pihak yang
enggan menuntut perubahan.
READ MORE: Confidence-and-supply agreement on
reforms vital for a more meaningful independence
Apatah lagi,
memorandum ini dirangka dalam keadaan terdesak, yang cukup dirasakan rejim PN,
yang digegarkan dengan skandal serta ketidakmampuan untuk berpaut pada kuasa
dengan majoriti parlimen yang tipis.
Perkembangan yang
lebih menggusarkan turut berlaku, di mana terlalu sedikit komen yang membina
serta tekanan yang dijangkakan tidak dilakukan oleh perwakilan kita di
Parlimen. Pembungkaman suara yang sebeginilah patut diambil kisah oleh kita
rakyat Malaysia.
Misalannya, baru-baru
ini Ahli Parlimen Umno Ahmad Maslan yang dilepaskan dari mahkamah. Maslan
dibebaskan dari dakwaan penyelewangan duit yang sudah pun dijadualkan
perbicaraannya, kerana pihak pendakwaan menarik balik kes selepas beliau
bersetuju untuk membayar ‘kompaun’ dengan nilai yang lebih rendah dari jumlah
yang beliau didakwa menyelewengkan.
Kes Maslan bukanlah
sesuatu yang luar biasa, pastinya. Rakyat Malaysia sudah pun menyaksikan
satu-persatu ahli politik serta keluarga mereka yang didakwa dilepaskan dari
mahkamah, bebas dari denda, dan sepertinya, menerima imbuhan pula dari
tingkahlaku mereka yang patut dikecam ini.
Apa yang lebih hina
adalah apabila mereka didenda (sekaligus menunjukkan bahawa mereka bersalah,
kan?) dengan bayaran yang lebih rendah dari jumlah yang mereka didakwa seleweng
atau curi.
Ia menjadi sebuah
perkara biasa di bawah regim ini sehinggakan tiada orang yang mahu mengutuk
atau mencabar keputusan ini, yang seringkali dilakukan oleh Pejabat Peguam
Negara.
Kes-kes ini seringkali
dipandang ringan, khususnya melibatkan ‘kluster mahkamah’ yang seakan-akan
tiada berlaku apa-apa balasan kepada mereka sekaligus membuatkan rakyat
Malaysia menyoal adakah keadilan benar ditegakkan di dalam sistem perundangan
Malaysia – adakah keadilan itu benar buta sifatnya.
Saatnya rakyat marhaen
di Malaysia menggeleng kepala dalam kekecewaan mereka, perwakilan mereka seakan
perlahan untuk merespon atau lebih buruk, terus senyap.
READ MORE: An academy to train lawmakers about
good manners?
Dan apabila mereka
merespon, seperti majlis presiden PH lakukan pada 2 Oktober lalu, responnya
terlalu lembut, dengan meminta penjelasan dari Peguam Negara dengan nada penuh
sopan berbanding menuntut penjelasan yang terang.
Sekaligus membuatkan
kita terfikir, adakah ini isi memorandum ‘perjanjian baru’? Di mana
undang-undang yang dilanggar secara semberono hanya diberi pertanyaan cukup
sopan?
Menjadi profesional
atau matang – barangkali perwakilan kita perlu diingatkan – bukannya bermaksud
suara mereka dibungkam, atau lagi teruk, dimandulkan.
Jika wujudnya
tindakan, yang keputusannya cukup semberono dilakukan, ia perlulah dikutuk dan
sebuah penjelasan – bahkan barangkali ia perlu difikirkan semula – wajib dituntut.
Kesopanan dan
kesusilaan ada ruangnya sendiri – serta keterhadannya.
Berlembut dengan
sebuah rejim yang – dari mula Langkah Sheraton sehinggalah pada penggantungan
Parlimen serta pengisytiharan darurat – tidak dapat menyelesaikan nasib serta
kesengsaraan rakyat Malaysia, barangkali bukanlah sebuah keputusan bijak.
Namun begitu, kita –
dan khususnya, pembangkang – janganlah terus berburuk sangka dan lepas tangan.
Kita perlu terus cakna
dan menentang secara terbuka dan jelas, saatnya pembangkangan diperlukan. Rejim
yang ada hari ini tidak akan menukar dirinya dalam sekelip mata.
Pencabulan semangat
perundangan, mengambil ringan akan tatasusila hukum – semua ini wajib
dipersoalkan, dikritik dan, jika perlu, dikutuk tanpa ampun.
Ini perlu dilakukan
saatnya ketika rejim bercakap soal ‘Keluarga Malaysia’, namun, pada waktu sama,
turut mengancam kehidupan para penghantar barang dengan tuntutan agar
dijalankan dasar pemilikan bumiputera sebanyak 51% terhadap beberapa syarikat
pada hujung tahun nanti.
Jelas yang regim ini
masih tidak mempunyai hati nurani – regim ini perlu dipantau dengan serius
serta tidak diberikan ruang untuk membuat sewenang-wenangnya, walaupun mereka
turut melibatkan ahli Parlimen pembangkang dalam penerimaan ‘peruntukan
istimewa’ bagi kawasan Parlimen untuk empat bulan yang terakhir tahun ini.
READ MORE: Next prime minister in the hands of
MPs
Apatah lagi, kita
tidak mahu dari menjadi seorang yang ‘oportunis secara berprinsip’ dan
kemudiannya, hanya menjadi oportunis semata-mata.
Rom Nain
Editor bersama, Surat berita Aliran
3 Oktober 2021