FORMULA PAS SOKONG PENYANDANG BERERTI MEREKA TERANG-TERANG MENOLAK KUMPULAN HAMZAH ZAINUDDIN

 

Dalam permusuhan yang kian membara antara UMNO dan Bersatu, Pas yang mengharapkan kedua-dua parti itu dapat saling bekerjasama dalam PRU15 telah menampilkan formula penyelesaian yang dianggap dapat menjernihkan keadaan.

Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya teguh dengan pendirian mengekalkan kerusi tradisi mana-mana parti sama ada miliknya, UMNO mahupun Bersatu.

“Jika dalam PRU lalu, kerusi itu milik UMNO, maka kita akan sokong UMNO dan begitulah sebaliknya, kalau milik Bersatu.

“Asas kita dalam muafakat politik adalah untuk mengelakkan pergandingan tiga penjuru, jadi itu adalah antara kaedah yang akan diambil,” ujarnya lagi.

Selain itu, tambah Menteri Alam Sekitar itu lagi, sekiranya berlaku pertembungan antara UMNO dan Bersatu di mana-mana kerusi, Pas hanya akan mengundi parti penyandang iaitu siapa yang memenanginya pada PRU14 lalu.

“Formula inilah antara yang akan diguna pakai Pas sebagai panduan kepada 2.2 juta ahlinya pada hari pembuangan undi nanti,” jelas Tuan Ibrahim lagi.

Sekali imbas, memang ternampak logik dan munasabah formula penyelesaian yang dikemukakan Pas ini.

Tetapi, harus diingat dalam PRU14 pada 2018 lalu, Bersatu hanya menang 13 kerusi Parlimen berbanding UMNO yang menang sebanyak 54 kerusi.

Daripada 13 kerusi itu, ia kemudian berpecah pula kepada Pejuang, Muda dan Bebas.

Yang kekal bersama Bersatu hanyalah 6 Ahli Parlimen saja.

Begitu pun, berikutan ada yang melompat katak daripada UMNO dan PKR ke dalam Bersatu, jumlah Ahli Parlimen dalam parti itu sekarang ialah 31 orang.

Dalam konteks untuk menyatukan UMNO dengan Bersatu, isu yang paling menjadi pertikaian ialah kedudukan kerusi Parlimen milik UMNO yang dibawa lari oleh pemimpin yang melompat ke dalam Bersatu.

Jumlah Ahli Parlimen UMNO yang melompat menyertai Bersatu ialah 15 di mana mereka ini lebih dikenali sebagai Kumpulan Hamzah Zainuddin.

UMNO berkeras mahu mengambil balik kerusi tersebut, manakala Ahli Parlimen yang sudah berada dalam Bersatu itu tentu saja mahu bertanding semula, tambahan lagi sebahagiannya berjawatan menteri, timbalan menteri dan lain-lain yang bergaji sekarang ini.

Dalam hal ini, jika formula Pas yang dilontarkan Tuan Ibrahim itu mahu diterima, apakah ia bermakna Bersatu hanya sesuai bertanding di 13 kerusi Parlimen saja pada PRU15 nanti?

Apakah formula itu juga bererti Pas dengan sendirinya menolak keperluan Kumpulan Hamzah Zainuddin untuk terus bertanding lagi pada PRU akan datang ini?

Dan kiranya berlaku pula pertandingan antara UMNO dengan Bersatu di 15 kerusi Parlimen terbabit, sejauh mana Pas benar-benar berpegang kepada pendirian untuk hanya menyokong calon daripada parti penyandang iaitu calon yang mewakili UMNO?

Jika pendirian tersebut kekal sebagai pendiriannya, bukankah parti itu adalah anggota gabungan dalam Perikatan Nasional atau PN yang ditunjangi oleh Bersatu sekarang ini?

Sampai hatikah Pas tidak menyokong calon daripada PN sendiri iaitu gabungan yang dianggotainya demi formula menyokong calon parti penyandang, walhal mereka tiada apa-apa hubungan rasmi pun dengan UMNO?

Apa agaknya reaksi Bersatu, khususnya Kumpulan Hamzah Zainuddin dengan formula Pas ini? – ShahbudinHusin 04/10/2021.



No comments: