Pembaharuan isu kerakyatan ditentang KDN zaman PH, kata aktivis
PETALING JAYA: Usaha melaksanakan pembaharuan dalam isu kewarganegaraan ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH) terbantut disebabkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada masa itu, kata seorang aktivis hak asasi wanita.
Ivy Josiah membela menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat PH yang dikritik atas ketiadaan usaha untuk memastikan anak-anak wanita Malaysia yang dilahirkan di luar negara mendapat kerakyatan.
Beliau yang turut terlibat dalam kempen kerakyatan saksama pada
2019 berkata, kementerian berkenaan sangat menyokongnya dan mereka mengadakan
pertemuan dengan menteri ketika itu, Dr Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya,
Hannah Yeoh.
Katanya, kelihatan pola yang menunjukkan Kementerian Pembangunan
Wanita, Keluarga dan Masyarakat komited terhadap kesaksamaan jantina, manakala
KDN selalu menentang. Ini juga berlaku dalam kerajaan semasa yang dipimpin oleh
Ismail Sabri Yaakob, katanya.
Ketika mengkritik Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan
Masyarakat PH pada Sabtu, peguam hak asasi manusia Latheefa Koya berkata,
kementerian berkenaan sepatutnya berpeluang meminda undang-undang bagi menjamin
tiada perbezaan layanan antara ibu dan bapa dalam pemberian kerakyatan kepada
anak yang lahir di luar negara.
“Malangnya itu tidak berlaku,” katanya.
“Itu tidak diselesaikan. Terus terang, tiada apa yang
diselesaikan…dan isu ini bukannya baharu.”
Namun
kata Josiah, “kami tahu kementerian berkenaan berdepan cabaran dalam mendukung
isu ini. Malangnya, Latheefa Koya tidak tahu usaha Kementerian Pembangunan
Wanita, Keluarga dan Masyarakat.”
Mahkamah Tinggi baru-baru ini memutuskan bahawa anak-anak yang
dilahirkan wanita Malaysia di luar negara dengan pasangan asing berhak mendapat
kerakyatan mengikut kuat kuasa undang-undang.
Rina Harun, yang kini mengetuai Kementerian Pembangunan Wanita,
Keluarga dan Masyarakat menyambut baik keputusan itu, namun KDN telah
memfailkan rayuan terhadapnya.
Ahli Parlimen DAP Klang Charles Santiago mengakui bahawa PH
terlepas peluang untuk menyelesaikan isu itu tetapi tidak adil untuk
menyalahkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Santiago berkata, beliau dan banyak badan bukan kerajaan (NGO)
lain mengemukakan representasi kepada menteri dalam negeri ketika itu,
memandangkan isu ini bawah bidang kuasanya,
“Itu kegagalan PH, tetapi pada ketika itu, pihak Bersatu tidak
berminat dengan pembaharuan,” katanya.
Bersatu pimpinan Muhyiddin pada mulanya adalah sebahagian
daripada kerajaan PH, namun kemudian membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN)
bersama Umno dan PAS.
Kata Santiago, PH kini harus menganggap pembaharuan sebagai perkara yang tidak boleh dirundingkan dan membawanya kepada perdana menteri.