KEH...KEH...NAMPAKNYA SERUAN TOK MAT TIDAK DIHIRAUKAN

 Panas! Tok Mat bagi amaran pada Adun Umno, jangan jatuhkan kerajaan pimpinan Umno di Melaka

Panas! Tok Mat bagi amaran pada Adun Umno, jangan jatuhkan kerajaan pimpinan Umno di Melaka



UMNO akan menggugurkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti itu di Melaka yang didapati terbabit dalam gerakan menjatuhkan kerajaan negeri sedia ada.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata tindakan itu selaras peraturan ditetapkan parti.

“Jika didapati ada ADUN UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang melakukan kerja itu dan boleh meruntuhkan kerajaan, maka secara automatik keahliannya akan tergugur.

“Itu sajalah bagi pihak parti. Saya berharap wakil rakyat, ketua menteri dan speaker dapat memainkan peranan.

“Nasihat saya, jika kerajaan ini sudah tidak boleh lagi meneruskan pemerintahan, daripada beralih kerajaan, lebih baik diadakan pilihan raya kecil (PRK) negeri supaya yang penting kita boleh beri semula mandat kepada rakyat. Biar rakyat yang menentukan daripada sesama kita lompat sana, lompat sini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan kepada ibu tunggal, anak yatim dan golongan memerlukan di Masjid Al-Hidayah, Taman Angsamas, dekat sini, hari ini.

Terdahulu media melaporkan timbul spekulasi mendakwa Kerajaan Melaka diterajui UMNO bakal tumbang selepas dikatakan empat ADUN kerajaan akan melompat menyertai Pakatan Harapan (PH).

Malah, didakwa keempat-empat ADUN berkenaan sudah menandatangani akuan bersumpah (SD).

Mohamad yang juga ADUN Rantau berkata, walaupun belum mendapat maklumat lanjut mengenai perkembangan politik di Melaka kecuali melalui laporan media, namun UMNO akan terus memantau.

“Saya kurang arif apa yang berlaku di Melaka kecuali seperti dilaporkan media saja.

“Saya harap ia dapat ditangani dengan baik oleh pentadbiran Kerajaan Melaka,” katanya.

Mohamad yang juga mantan Menteri Besar Negeri Sembilan, menggesa undang-undang mencegah Ahli Parlimen atau ADUN daripada melompat parti dapat diluluskan segera di peringkat Parlimen.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan berkata, undang-undang itu penting bagi mengelak berlaku lompat parti dan menimbulkan masalah pada masa depan.

“Apabila melompat dan dikira tempat itu kosong, kita boleh buat kerusi itu sebagai kepunyaan parti. Penduduk boleh buat petisyen kerana pilihan raya kecil ini memakan belanja.

“Apabila buat undang-undang kerusi itu kepunyaan parti, maka parti boleh melantik siapa saja yang layak (untuk menduduki kerusi itu),” katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata, UMNO Negeri Sembilan sedang bersiap siaga menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Selaku Pengarah Pilihan Raya UMNO, saya akan turun ke setiap negeri yang berada di Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi menemui bahagian berhubung kesiapsiagaan yang dilakukan.

“Saya ada data dan maklumat, kita tidak mahu kesiapsiagaan itu hanya cantik atas kertas saja. Kita nak pastikan jentera pilihan raya bertindak proaktif,” katanya.

No comments: