PENGANGGURAN ANAK SEMUA BANGSA- APA LANGKAH KERAJAAN BANTU MEREKA ?

 

778,200 individu menganggur setakat Julai tahun ini, kata Saravanan



Saravanan berkata, kementeriannya sedang berusaha memperbanyakkan peluang pekerjaan bagi mengurangkan kadar pengangguran. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan jumlah
pengangguran tahun ini meningkat kepada 778,200 orang berbanding 768,700 tahun lalu.

Menteri Sumber Manusia, M Saravanan berkata, angka berdasarkan laporan dibuat Jabatan Perangkaan pada suku kedua tahun 2020 itu menunjukkan peningkatan seramai 9,500 orang tahun ini.

“Kadar pengangguran adalah 768,700 orang pada suku kedua tahun 2020, walau bagaimanapun terdapat peningkatan bilangan penganggur setakat Julai 2021, iaitu 9,500 orang menjadikan jumlahnya meningkat kepada 778,200 orang,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, pihak kerajaan sedang berusaha untuk memperbanyakkan peluang pekerjaan bagi mengurangkan kadar pengangguran.

“Kerajaan telah menubuhkan Majlis Pekerjaan Negara dengan sasaran mewujudkan 500,000 pekerjaan. Di bawah majlis tersebut, KSM dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi telah dilantik sebagai pengerusi bersama dalam pasukan khas ini.

“Pasukan ini memainkan peranan dalam menyokong Majlis Pekerjaan Negara melalui objektif utama, iaitu meningkatkan penciptaan pekerjaan, memaksimumkan tahap pengekalan pekerjaan, membuat padanan pekerjaan serta mengatasi pengangguran dan mengkaji serta merangka mekanisme perlindungan keselamatan bagi pekerja sendiri,” katanya.

Beliau menjawab soalan Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) mengenai jumlah penganggur yang dicatatkan setakat tahun ini dan perancangan kementerian itu dalam memastikan lebih banyak peluang pekerjaan disediakan bagi mengurangkan kadar pengangguran.

No comments: