SUATU KETIKA DULU JUALANNYA MENCECAH 300K NASKAH BILA ISU ANWAR TERPENJARA. KINI AKHBAR INI DILAT TIDAK BERWIBAWA DAN NASIB AKAN BERAKHIR MACAM UTUSAN

 

Terkini! Harakah siarkan kenyataan permohonan maaf pada Mujahid


Terkini! Harakah siarkan kenyataan permohonan maaf pada Mujahid



Akhbar lidah rasmi Pas, Harakah keluaran terbaharu menyiarkan kenyataan maaf terhadap Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berhubung fitnah berkaitan isu golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Mujahid yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) memberitahu akhbar itu berbuat demikian dengan turut menyiarkan kenyataan maaf wartawan Aziz Muda.

Harakah cetak di muka surat H7 pada keluaran 4-7 Oktober 2021 (terkini) telah keluar kenyataan maaf di atas artikel yang tuduh saya tidak tegas dengan LGBT dan Sajat bertindak kerana saya dan PH.

“Fitnah itu ditarik balik dalam permohonan maaf Harakah atas arahan mahkamah,” katanya menerusi ciapan di Twitter hari ini.

Pada 29 September lalu, laman web lidah rasmi Pas, Harakahdaily menyiarkan permohonan maaf Aziz selepas sembilan hari kes saman fitnah difailkan Mujahid terhadap Harakah selesai melalui proses mediasi.

Aziz berkata, dia tidak mempunyai sebarang niat jahat untuk menjatuhkan maruah, mengaibkan ataupun memfitnah Mujahid dengan penerbitan artikel bertajuk ‘Sajat: Mujahid dan K’jaan PH patut dipersalahkan dan ‘Keterlanjuran Sajat kesilapan Mujahid dan kerajaan PH”.

Wartawan veteran itu bahkan mengakui tahu usaha-usaha Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar itu dalam bidang dakwah dan dalam memartabatkan Islam selain mengenalinya secara peribadi.

Walau bagaimanapun, Aziz menyedari kandungan dua artikelnya itu mungkin boleh membawa maksud dan pemahaman yang berbeza kepada para pembaca terutama kepada Mujahid.

Sehubungan itu, Aziz mengakui bahawa Mujahid tidak mempunyai kaitan sama sekali dengan tindakan Sajat yang bertelekung ketika menunaikan umrah di Makkah.

Kedua, Aziz mengakui Mujahid tidak pernah melarang pihak berwajib dan orang ramai daripada melakukan serbuan dan tangkapan ke atas mereka yang terlibat dengan aktiviti LGBT dan perzinaan.

Turut diakuinya lagi bahawa Mujahid tidak pernah membenarkan atau menyokong amalan LGBT untuk dipraktikkan di Malaysia.

“Oleh yang demikian, saya (Aziz) dengan seikhlas hati ingin memohon maaf kepada YB Datuk Seri Dr Mujahid bin Yusof sekiranya Artikel-artikel tersebut mengguris perasaan dan/atau mengaibkan nama YB Datuk Seri Dr Mujahid bin Yusof.

“Saya juga telah meminta pihak Harakah dan Harakahdaily untuk menarik balik penyiaran Artikel-artikel tersebut (sekiranya masih disiarkan) dan supaya tidak lagi mengguna pakai dan membuat rujukan kepada Artikel-artikel tersebut di masa hadapan,” kata Aziz.

Terdahulu, Mujahid yang memfailkan saman pada 12 Ogos tahun lalu, menamakan Aziz, Ketua Pengarang Harakah Wan Nordin Wan Yaacob, penerbit Harakahdaily serta akhbar Harakah iaitu Galeri Media Serbanika Sdn Bhd dan pencetak akhbar itu Percetakan Turbo (M) Sdn Bhd sebagai defendan.

Dalam penyataan tuntutannya, Mujahid mendakwa pada 7 Februari tahun lalu, Aziz, Wan Nordin dan Galeri Media telah menulis dan menerbitkan kenyataan memfitnah terhadapnya di Harakahdaily menerusi artikel bertajuk ‘Sajat: Mujahid dan K’jaan PH patut dipersalahkan’ serta menerbitkan satu lagi kenyataan yang memfitnah beliau dalam akhbar Harakah bertarikh 10 hingga 13 Februari menerusi artikel ‘Keterlanjuran Sajat kesilapan Mujahid dan kerajaan PH’.

Mujahid selaku plaintif menegaskan kata-kata fitnah itu antara lain membawa maksud bahawa beliau seorang yang tidak bertanggungjawab apabila membenarkan masyarakat, khususnya yang beragama Islam, terlibat dalam aktiviti LGBT selain didakwa menjadi punca kepada tindakan Sajat memakai telekung serta berpakaian seperti wanita, sewaktu menunaikan umrah.

Mujahid juga mendakwa kenyataan fitnah itu telah menjatuhkan maruah, kredibiliti serta reputasinya selaku menteri yang menjaga hal ehwal agama di Jabatan Perdana Menteri, dan akibat daripada penyebaran kata-kata fitnah tersebut, beliau mengalami tekanan serta berasa malu untuk berhadapan dengan masyarakat.

Sumber | MD




No comments: