Ahli Jawatankuasa Pusat PAS Nik Abduh Nik Abdul Aziz menerima kritikan setelah mencadangkan kalangan yang menderma kepada tabung Palestin untuk tidak “bertanya hal yang sukar” berkenaan sama ada sumbangan mereka sampai ke pihak yang ditujukan atau tidak.
Dalam hantaran Facebook bertajuk “Derma tak sampai Palestin?“, Nik Abduh berkata perkara paling utama adalah keikhlasan dalam memberi sumbangan.
“Apabila wang anda berpindah daripada tangan anda ke tabung Palestin, Allah menerimanya. Pada tahap tahap mana ikhlas dan takwa anda, Allah menerimanya untuk anda sebagai pahala jihad di akhirat nanti.
“Lalu Allah memelihara Palestin dengan keikhlasan anda, bukan dengan wang anda.
“Jangan sibukkan diri bertanya hal yang sukar. Palestin bumi jihad dan perang. Rukunnya, lakukan dan jangan cakap banyak,” katanya.
Pandangan itu dibantah sejumlah pengguna Facebook di ruangan komen.
“Jika yang lafazkan (perkara) ini ialah pihak yang menderma, mungkin boleh diterima. Tetapi jika (daripada) pihak yang melancarkan derma, agak kurang sesuai.
“Nanti ada scammer yang ambil kesempatan gunakan ayat yang sama dan jadi normalisasi (kebiasaan) pula,” kata individu bernama Afyan Mat Rawi.
Penggguna Facebook bernama Syarif Hasbullah pula berkata: “Rakyat Malaysia bersedekah nak dua perkara – manfaat pada diri dan juga manfaat pada rakyat Palestin. Bukan untuk orang yang kutip derma.”
Pengguna bernama Muslim bin Azman pula mempersoalkan sama ada adilkah jika wang sumbangan, terutama jika melibatkan jumlah yang besar, tidak sampai kepada mereka yang memerlukan.
Ada juga yang membalasnya secara menyindir, seperti Ibnu Ahmad yang berkata dia juga ingin memulakan tabung dana untuk Palestin.
“Jangan tanya saya salur atau tidak duit itu. Keikhlasan tuan-tuan yang akan membantu kemenangan,” katanya.
Pertempuran terbaru antara pihak Palestin dan Israel tercetus selepas polis Israel melancarkan serangan di kawasan Masjlid al-Aqsa di Baitul Maqdis.
Israel melakukan ratusan serangan udara di Gaza, manakala Hamas dan kumpulan pejuang Palestin yang lain membalas dengan melepaskan roket ke arah Israel.
Setakat ini, dilaporkan sekurang-kurangnya 139 telah meninggal dunia di Gaza, termasuk 39 kanak-kanak. Israel pula melaporkan 10 kematian.
Dengan perkembangan ini, PAS dengan kerjasama kira-kira 40 NGO melancarkan tabung #Aid4Palestine dengan matlamat meraih RM1 juta untuk Palestin.
Penubuhan tabung dan sekretariat diumumkan oleh presiden PAS yang juga duta khas ke Timur Tengah Abdul Hadi Awang. Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi – yang juga anak kepada presiden PAS itu – dilantik sebagai pengerusi.
Setiausaha PAS Takiyuddin Hassan juga mengeluarkan arahan agar semua peringkat parti menggerakkan kempen meraih dana yang akan disalurkan ke “Tabung Kemanusiaan PAS Relief” di bawah seliaan parti itu.