Dakwaan dirogol rakan ADUN: Polis panggil wanita beri keterangan Rabu ini

 

Peguam Asheeq Ali Sethi Alivi bersama anak guamnya selepas memberi keterangan di IPD Brickfields pada 11 Mei lalu.

PETALING JAYA: Wanita yang mendakwa dirogol dua kenalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Hilman Idham, pada Disember tahun lalu, dipanggil polis untuk memberi keterangan Rabu ini.

Perkara itu disahkan peguamnya, Asheeq Ali Sethi Alivi.

“Polis sudah menghubungi anak guam saya untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur Rabu ini,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, bekas perdana menteri Najib Razak mempersoalkan kelewatan siasatan laporan polis berhubung kes rogol didakwa membabitkan dua rakan Hilman yang dibuat mangsa berusia 33 tahun.

“Berita Najib lupa imbas MySejahtera tular, kenyataan polis terus keluar. Berita Dr Mahathir (Mohamad) lupa imbas, kenyataan polis serta-merta keluar.

“Sebab itu saya pelik kenapa pihak polis belum sempat keluar apa-apa kenyataan berhubung kes seorang gadis membuat laporan polis untuk dakwa ADUN Perikatan Nasional rancang insiden rogolnya. Mangsa rogol tersebut dakwa mereka minum arak bersama-sama di lobi hotel,” katanya.

Malah, Najib mendakwa ADUN bersama rakannya melanggar SOP perintah kawalan pergerakan dengan berkaraoke hingga awal pagi walaupun KTV tidak dibenar beroperasi ketika itu.

“Mangsa juga sahkan klip video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan mereka masuk bilik hotel yang telah tular adalah sahih.

“Tapi belum ada sebarang kenyataan rasmi dari pihak polis sehingga kini. ADUN terbabit juga tak memberi sebarang komen,” katanya.

Awal Mei lalu, seorang wanita berusia 33 tahun mendakwa dirogol pada Disember tahun lalu dan menamakan dua kenalan ADUN Gombak Setia itu dalam laporan polis dibuatnya berhubung kejadian itu.

Seorang daripada mereka ialah pemimpin bahagian parti PN manakala seorang lagi dikatakan sebagai kenalan lama Hilman.

Laporan polis itu didedahkan bekas pemimpin Umno, Lokman Adam.

Berdasarkan laporan polis, mangsa mendakwa dijemput Hilman ke sebuah hotel di Kuala Lumpur untuk meraikan ulang tahun kelahiran bersama kenalan rapatnya dan dua rakan wanita lain pada 4 Dis 2020.

Pada 9 Mei lalu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Azmi Abu Kassim berkata kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan (KK) kerana merogol.