Kerana ego, tindakan lembab PN, kita mungkin berdepan PKP 3.0 lebih lama, kata Najib

 

Bekas perdana menteri, Najib Razak, berkata tanda awal penularan Covid-19 semakin parah jelas kelihatan pada awal April apabila kadar kebolehjangkitan sudah melepasi paras neutral 1.00.

PETALING JAYA: Rakyat mungkin berdepan tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 lebih lama berbanding sebelum ini hasil daripada keegoan dan tindakan lembab Putrajaya untuk menutup sekolah lebih awal, kata Najib Razak.

Bekas perdana menteri dalam catatan di Facebook berkata, tanda awal penularan Covid-19 semakin parah jelas kelihatan pada awal April apabila kadar kebolehjangkitan sudah melepasi paras neutral 1.00.

Bagaimanapun, katanya, menteri Perikatan Nasional (PN) masih tidak mengambil sebarang tindakan untuk mengawal penularan walaupun pada 26 April, Kementerian Kesihatan (KKM) sudah mendedahkan lebih 23,000 murid dijangkiti virus itu sejak sekolah dibuka semula selepas PKP 2.0 tamat.

Malah, Najib berkata, sebulan sebelum raya, negara sudah mencatatkan sekitar 20,000 kes baharu dalam tempoh seminggu, bagaimanapun ia masih tidak membuka mata kerajaan pusat untuk mengambil sebarang tindakan proaktif.

“Lebih sebulan sebelum raya, tak mahu buat. Dah masuk raya je, dorang baru buat. Hasil dari ego dan tindakan lembab kerajaan, seluruh negara menghadapi PKP 3.0 yang mungkin jauh lebih lama tempohnya berbanding PKP 1.0 dan PKP 2.0,” katanya.

Najib berkata, walaupun kerajaan belum mengakui kluster pendidikan sebagai punca utama penularan lebih teruk ketika PKP 3.0, beliau yakin ia antara pencetus utama Covid-19 menular begitu pantas dalam komuniti.

“Begitu jelas dan logik tapi menteri PN buat-buat tak tahu. Mana mungkin 23,000 murid yang disahkan positif bukan satu risiko penularan yang besar?

“Akhirnya sebulan kemudian selepas tanda awal jelas kelihatan, kerajaan umum PKP 3.0 secara menyeluruh pada 10 Mei dan akhirnya sekolah ditutup untuk beralih ke ‘online learning’,” katanya.