Penyelesaian Dua Negara seolah ikhtiraf 15R43L sebagai sebuah negara, kata Raja Kamarul

 


Penyelesaian Dua Negara seolah ikhtiraf 15R43L sebagai sebuah negara, kata Raja Kamarul


Sokongan kerajaan berhubung cadangan penyelesaian konflik di Palestin mengikut formula Penyelesaian Dua Negara atau Two-State Solution seolah-olah mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara.

Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, konsep dua negara yang dilaungkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Sabtu merupakan cadangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta disokong kebanyakan negara barat namun tidak diterima rakyat Palestin.

“Muhyiddin patut sedar bahawa amat sukar untuk rakyat Palestin menerima cadangan ini dalam tempoh Israel terus merampas tanah mereka seperti di Sheikh Jarrah, dinding pemisah konkrit tinggi didirikan untuk memisah keluarga Palestin dan pembunuhan kejam terus dijalankan.

“Cadangan solusi dua negara dilihat tidak sensitif terhadap penderitaan rakyat Palestin dan perasaan orang Islam seluruh dunia dalam keadaan masjidil Al Aqsa diceroboh pada Ramadan dan Gaza dibom oleh tentera Israel,” katanya menerusi satu kenyataan kepada Sinar Harian pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau mendakwa kerajaan Malaysia dilihat lambat bertindak dan kurang menyatakan pendirian tegas dalam isu ini.

Selain itu, Raja Kamarul Bahrin Shah turut mempertikaikan peranan Duta Khas Timur Tengah, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang sepatutnya menjadi penasihat Perdana Menteri dalam hal ini.

“Adakah kerajaan yang dibentuk sekarang bersetuju dengan tanah asal Palestin yang telah dirampas, tembok pemisahan kawasan dan dasar apartheid yang diamalkan Israel ke atas rakyat Palestin.

“Adakah Pas kini mempunyai sikap liberal terbuka seperti negara barat lain setelah Pas mempunyai menteri dan timbalan menteri dalam kerajaan,” katanya.

Muhyiddin sebelum ini berkata, Malaysia menyokong penyelesaian konflik Palestin-Israel melalui Penyelesaian Dua Negara atau Two-State Solution berdasarkan garis sempadan sebelum tahun 1967, dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin. 





No comments: