Hentikan dasar pembersihan etnik Israel
Ahli-ahli Parlimen Malaysia tanpa mengira parti menyeru agar keganasan Istael di bumi Palestin segera dihentikan.
Menurut jurucakap kumpulan Ahli Parlimen itu, Syed Ibrahim Syed Noh, keganasan Zinonis yang membunuh ratusan kanak-kanak dan wanita serta mencederakan ribuan yang lain tidak boleh dibiarkan berlarutan.
“Israel langsung tiada rasa hormat atau menangguhkan serangan meskipun pada hari-hari akhir Ramadan dan perayaan Eid. Rejim Israel mesti memikul tanggungjawab penuh atas kemerosotan konflik ini. Dunia tidak boleh menutup mata terhadap kebiadapan ini berulang kali.
“Isu utama nyawa rakyat, kemanusiaan, demokrasi dan kebebasan untuk rakyat dipertaruhkan.
“Namun apa yang mengecewakan kita ialah pengusiran dari rumah rakyat Palestin di Jerusalem yang merupakan tindakan tidak bermoral.
“Kesatuan Eropah (E.U.) mengatakan secara terang-terangan tindakan berkenaan melanggar undang-undang antarabangsa, manakala P.B.B. menyifatkan ia sebagai kemungkinan jenayah perang, dan oleh itu ia dilihat sebagai sebahagian daripada strategi untuk membatasi jumlah penduduk Palestin di Jerusalem dan meningkatkan jumlah orang Yahudi,” katanya dalam satu kenyataan.
Ahli Parlimen Ledang itu berkata tindakan terbaharu Israel dengan mengepung dan mengusir penduduk Palestin di negara haram Yahudi sebagai meneruskan pembersihan etnik yang berlaku sejak wujudnya entiti Israel lebih 7 dekad lalu
Keganasan Apartid Israel itu, katanya, berlaku ke atas komuniti campuran Yahudi dan Arab yang bakal mewujudkan satu lagi konflik yang panjang.
Begitu juga serangan ke atas al Quds pada Ramadan lalu, yang menurut Syed Ibrahim membangkitkan kemarahan umat Islam sedunia.
“Serangan terhadap Masjid Al-Aqsa dan para jemaah pada bulan suci Ramadan tanpa diprovokasi jelas dilakukan untuk membangkitkan tindak balas rakyat Palestin bagi mempertahankan diri.
“Ini menunjukkan bagaimana Israel bermusuhan tanpa kisah atau hormat terhadap agama, atau tekanan masyarakat antarabangsa.
“Perbuatan sedemikian menandakan sifat angkuh dan kejam Israel. Ia wajib dibawa ke muka pengadilan dan dihukum,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Ahli-ahli Parlimen Malaysia menuntut masyarakat dunia melakukan beberapa perkara bagi mengekang keganasan Israel:
- Mengutuk dan menghentikan pencerobohan dan serangan yang tidak diprovokasi terhadap Palestin sama ada di Jerusalem, Gaza,
Tebing Barat dan wilayah-wilayah lain yang diduduki - Mengutuk dan menghentikan pendudukan dan peminggiran paksa oleh Israel terhadap rakyat Palestin kerana melanggar hak asasi manusia
sejagat, khususnya Resolusi Majlis Keselamatan PBB 476, 478 dan 2334. - Masyarakat antarabangsa, terutama P.B.B. dan agensinya, serta Negara Anggota, harus bertindak untuk mencegah dan menghukum tindakan apartid Israel
- Kesatuan Antara Parlimen (IPU) dan kesatuan parlimen serantau perlu menerima resolusi mengutuk pencerobohan Israel, menghentikan serangan dan melindungi nyawa dan hak rakyat Palestin
- Tindakan dan restu Amerika Syarikat (AS) di atas kejahatan Israel terhadap rakyat Palestin mesti dikutuk dan dinilai semula selaras dengan rang undang-undang di Kongres A.S. yang bertujuan untuk mengakhiri keterlibatan A.S. atas pelanggaran hak asasi manusia
Israel. - Kerajaan Malaysia mesti menunjukkan kecaman yang lebih keras terhadap penindasan Israel terhadap hak Palestin untuk menentukan nasib sendiri, keadilan dan kebebasan dengan mendesak organisasi seperti OIC, Liga Arab dan PBB mengambil tindakan lebih bermakna melindungi rakyat Palestin
- Kerajaan Malaysia sebagai pendokong kuat keadilan dan kedamaian harus bersedia untuk menghantar utusan perdamaian ke Gaza
- Perdana Menteri mesti menasihati Yang Di-Pertuan Agong memanggil sidang khas Parlimen untuk membawa usul mengutuk Israel dan mengemukakan syor-syor kepada Dewan Rakyat.
- Ahli Parlimen mesti bertindak mendedahkan kekejaman oleh Israel dengan mendesak Parlimen dan pemerintah untuk (a) menamatkan
semua kerjasama dan perdagangan keselamatan ketenteraan (dana tentera dalam kes AS) dengan apartid Israel dan rejim penindasan yang
serupa di seluruh dunia, (b) melarang semua barang / perkhidmatan syarikat yang beroperasi di penempatan penjajah haram Israel; dan (c)
menuntut penyiasatan PBB terhadap apartid Israel. - Boikot produk / perkhidmatan dan gerakan tekanan institusi untuk melupuskan kerjasama dengan syarikat dan bank Israel serta antarabangsa yang terlibat dalam jenayah perang Israel dan jenayah terhadap kemanusiaan.