Perdana Menteri Muhyiddin Yassin diingatkan ‘orang sekelilingnya’ termasuk beberapa menteri mengenai kemarahan rakyat yang semakin meningkat, dengan harapan kerajaan akan menggunakan strategi komunikasi yang lebih baik untuk meredakan ketegangan, menurut sumber.
Bercakap kepada FMT, dua orang dalam parti Bersatu itu berkata, kerajaan gagal berkomunikasi secara berkesan dengan rakyat, bergantung hanya pada data dan bukan kisah sebenar mengenai rakyat yang menderita Covid-19.
“Ada beberapa kebenaran yang sukar yang perlu diketahui oleh perdana menteri. Kami telah sampaikan mesej itu. Sekiranya mereka tidak ambil perhatian, kerajaan mungkin tidak dapat melawan kemarahan itu,” kata seorang sumber.
Sumber itu berkata, kebanyakan pemimpin menyedari mereka mungkin sudah terlambat untuk meredakan kemarahan tetapi “masih ada harapan kerana kita (kerajaan) tidak mahu adakan pilihan raya umum pada tahun ini”.
Katanya, beberapa ahli parti tidak senang dengan cara kerajaan mentadbir negara.
Tersekat dalam tekanan
“Kita seperti menyerah kepada semua orang tanpa memikirkan akibatnya. Kami tidak gembira apabila bazar Ramadan dibenarkan dibuka. Kita tersekat dalam tekanan, tidak mahu menyusahkan para peniaga, dengan harapan akan mendapat sokongan,” katanya.
Hasilnya adalah bazar menjadi salah satu sebab utama peningkatan jumlah kes Covid-19, dengan jangkitan harian seluruh negara mencapai 4,000 angka selama beberapa hari.
Beliau berkata, kerajaan tidak boleh terlalu bergantung pada analisis data yang digunakan oleh pakar untuk mengukur sentimen rakyat.
“Ya, kita memerlukan data dan analisis, tetapi kita memerlukan strategi komunikasi yang lebih baik. Kita gagal dengan cara kita berkomunikasi terhadap rakyat,” kata sumber itu.
Sumber itu berkata, tumpuan kerajaan kini berada pada perkembangan positif kerana kerajaan sudah mempunyai vaksin, boleh mengawal Covid-19, mengikut SOP, tetapi mereka tidak menunjukkan gambaran sebenarnya.
Beri gambaran sebenar mengenai penderitaan rakyat
Menurut sumber itu, rakyat harus diberitahu tentang penderitaan mereka yang diberi rawatan intensif, dan mengenai ibu hamil atau bayi yang mati kerana Covid-19.
“Rakyat perlu melihat dan mengetahui perkara ini. Beberapa data sedemikian mesti disediakan setiap hari. Hanya dengan itu rakyat akan mengetahui gambaran sebenar,” menurut sumber.
Tambahnya, berita seperti itu tidak disampaikan, sehingga kerajaan disindir kerana melaksanakan perintah darurat di seluruh negara dan kerajaan hanya memberikan sejumlah angka kematian yang masih belum dapat disedari rakyat yang masih memandang ringan terhadap virus.
Malaysia melaporkan jumlah tertinggi iaitu 44 kematian pada dua hari lalu.
Seorang lagi sumber dalaman parti Bersatu berkata, pegawai sekeliling perdana menteri telah diberitahu terdapat kemarahan yang memuncak mengenai “dwistandard” yang diamalkan oleh kerajaan.
“Lebih daripada PKP yang sedang berjalan, rakyat marah dengan dwistandard. Amalan seperti ini harus dihentikan dan pembangkang akan cenderung menggunakan isu ini ketika pilihan raya,” katanya kepada FMT.
Di media sosial, tanda pagar #KerajaanGagal menjadi trend sejak pertengahan April.
Buat perubahan atau kalah pada pilihan raya
Sumber itu berkata, Muhyiddin telah diberitahu polis mesti menyiasat sesiapa sahaja, termasuk menteri dan timbalan menteri, jika mereka melanggar peraturan.
Kata sumber, ahli parti juga memberitahu perdana menteri untuk tidak mengadakan pilihan raya umum pada tahun ini “kerana kita cenderung untuk kalah”.
Perdana menteri telah dimaklumkan bahawa rakyat mahukan keselamatan pekerjaan dan peningkatan ekonomi, kata sumber itu.
“Kita hanya dapat memenangkan hati dan fikiran rakyat jika perubahan ini dilakukan atau mungkin sudah terlambat untuk kita menang ketika pilihan raya diadakan,” tambahnya.