PKP 3.0: Bukti kegagalan berterusan PN

 

Oleh B. Suffian

Pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) di seluruh negara atau PKP 3.0 adalah bukti kegagalan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang berterusan.

Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong berkata, sikap Kerajaan PN yang meminggirkan pandangan pakar berdasarkan sains dan fakta sekali lagi mempertaruhkan nyawa dan menjejaskan ekonomi rakyat.

“Tanpa perancangan awal dan kerjasama menyeluruh antara pihak berkuasa, PKP 3.0 atau PKP seterusnya hanya akan menyaksikan kegagalan berterusan PN sehingga hilang kawalan terhadap Covid-19 dan rakyat semakin merana akibat kehidupan yang semakin mencabar,” katanya di laman Facebook hari ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin semalam mengumumkan pelaksanaan PKP di seluruh negara dengan larangan baharu berkaitan aktiviti Aidilfitri berkuat kuasa esok.

Muhyiddin berkata, bagi tempoh PKP itu, semua sektor ekonomi dibenarkan untuk beroperasi.