Ke mana-mana kita pergi atau dengan siapa saja kita berjumpa kebelakangan ini, paling wajib kedengaran ialah luahan rasa marah pelbagai lapisan masyarakat terhadap kerajaan.
Setiap isu yang berlaku, baik PKP, SOP baru yang bercelaru, penguatkuasaan dua darjat, jadual persekolahan, kenaikan harga barang dan apa saja, semuanya akan dilibas dengan rasa marah.
Semuanya kerana kerajaan dilihat tidak membuat keputusan yang menyenangkan rakyat, malah makin menyusahkan serta membebankan mereka.
Tiada lagi kedengaran ada yang memuji kerajaan atau Perdana Menteri, Mahiaddin Md Yasin sebagaimana peringkat awal terbentuknya PN sebelum ini.
Dulu Mahiaddin baca doa pun ramai yang memuji, tapi kini terpandang kelibat wajahnya melintas di media sosial saja pun sudah ramai yang menghamburkan kata-kata benci dan caci maki.
Kata seorang teman, yang masih tidak malu-malu memuji Mahiaddin dan kerajaan sekarang hanya Pas dan Hadi Awang saja lagi, walau mereka akhirnya dikecam atas tindakan itu.
Terlalu banyak sebab mengapa rakyat begitu marah kepada kerajaan dan ia tidak perlu dihuraikan satu persatu lagi, hakikatnya kerajaan PN ini di mata rakyat adalah kerajaan gagal,paling tak berguna sekali dan memang sesuai dimarahi.
Lebih memburukkan keadaan adalah kerana Mahiaddin seperti seorang Perdana Menteri yang tiada kawalan dan terlalu lemah dalam mengurus negara.
Apabila kepala ikan sudah mula membusuk, bau busuknya tentu saja boleh terhidu di segenap penjuru.
Ada pelbagai bentuk kemarahan yang diluahkan, semuanya mengikut pengalaman, apa yang dirasa seperti dialami peniaga bazar Ramadan dan bazar Aidil Fitri atau apa yang sedang mereka fikirkan berdasarkan keputusan yang diumumkan kerajaan.
Selain kemarahan itu boleh dikesan melalui perbualan atau percakapan secara langsung dengan sesiapa saja yang kita berjumpa, di media sosial pula ianya tampak lebih melarat lagi.
Semua jalur media sosial kebelakangan, jika diperhati, begitu sarat dengan luahan kemarahan berbentuk tulisan, gambar, video, kartun, lakaran dan lain-lainnya terhadap kerajaan dan Mahiaddin.
Melihat keadaan itu, seolah-olah tidak ada yang tidak marah kepada kerajaan dan Mahiaddin ketika ini, semua rakyat sedang marah belaka.
Sebagai rakyat yang kedudukan mereka adalah tunjang kepada negara dan kerajaan, menunjukkan rasa marah bukanlah suatu kesalahan atau jenayah, asal saja ia dilakukan secara beradab dan tidak memfitnah.
Rasa marah yang ditunjuk itu memperlihatkan rakyat sebenarnya tidak kaku,! hidup dan proaktif serta ada tindak balas terhadap sesuatu tindakan atau keputusan kerajaan.
Jika kerajaan mengambil positif rasa marah rakyat dan sedia memperbaiki diri serta khidmatnya, ia akan menjadi sesuatu yang baik dengan kedua-dua pihak akan mendapat faedahnya.
Tetapi, jika kerajaan berdiam diri atau cuba menegakkan benang yang basah, kemarahan itu akan bertambah marak dan keadaan tidak akan menjadi lebih baik.
Lebih-lebih lagi berkaitan kerajaan PN pimpinan Mahiaddin yang terlalu banyak kelemahan, kegagalan dan kedurjanaan ini, di samping banyak luahan kemarahan rakyat selama ini tidak diendahkan, tiada pilihan lain harus dilakukan selain mesti terus menunjukkan rasa marah mereka.
Jangan berhenti menunjukkan rasa marah sebagai isyarat bahawa kerajaan ini tidak lagi dikehendaki untuk memerintah negara ini.
Buktikan kita sebagai rakyat adalah tuan sebenar dalam negara ini dan hanya dengan berani menunjukkan rasa marah barulah akan terlahir sebuah kerajaan dan Perdana Menteri yang sentiasa memikirkan serta benar-benar memperjuangkan kepentingan rakyat sepenuh hatinya.
(ShahbudinHusin 11/05/2021)