KHIDMAT SOSIAL : ARTIS PERLUKAN BANTUAN

 

M. Jamil perlukan bantuan

By

 Wartawan MalaysiaGazette

 -

 11 May 2021






                                Mohamad Jamil Zulkifli



KUALA LUMPUR – Pelakon dan pengarah filem, M. Jamil atau nama sebenarnya Mohamad Jamil Zulkifli kini memerlukan bantuan untuk menampung kehidupannya sekeluarga kerana hilang mata pencarian sejak diserang penyakit angin ahmar sejak tiga tahun lalu.

Jamil yang pernah membintangi filem Riang Tirana, Ranjau Sepanjang Jalan, dan Dia Ibuku serta pernah mengarahkan lima filem termasuk Momok The Movie pada 2009 itu, bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak.

”Saya memang tidak berdaya lagi untuk bergerak sejak tiga tahun lalu dan tak ada sumber pendapatan.

”Alhamdulillah terima kasih atas sumbangan kerusi roda baru ini. Ini pun sudah cukup untuk hari raya tahun ini,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan kerusi roda oleh Ketua Biro Kesejahteraan Sosial, Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) di rumahnya di Taman Puchong Utama di sini.

Anak seniwati Datuk Sarimah Ahmad itu kini tinggal bersama-sama isteri, Shahrila Baharom, 49 dan dua anak berusia enam dan empat tahun.

Sumbangan FDAM bagi menggantikan kerusi roda lama yang telah lusuh itu adalah sebahagian aktiviti persatuan itu bagi membantu ahlinya yang memerlukan.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan, boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan Nasional 1011141000023821 (Mohamad Jamil Zulkifli). –