Covid-19: Mengapa rakyat enggan beri kerjasama penuh?

 

ZIN MAHMUD

Banyak orang mengeluh tentang gelagat rakyat yang tidak berdisiplin dan tidak memberikan kerjasama penuh dalam usaha membendung wabak Covid-19. Serentak itu, mereka juga menyalahkan kerajaan kerana masih gagal membendung wabak ini.

Jadi dalam negara ini berlaku perbuatan salah-menyalah. Rakyat menyalahkan kerajaan. Kerajaan pula menyalahkan rakyat. Rakyat yang mematuhi SOP menyalahkan orang ramai yang tidak memberikan kerjasama. Kerajaan pula ada dua peringkat, perkhidmatan awam dan ahli politik yang memegang jawatan. Di belakang tabir, mereka juga menyalahkan satu sama lain.

Mengapakah rakyat enggan memberi kerjasama penuh? Terdapat banyak faktor yang menyebabkan keadaan demikian. Salah satu faktor penting ialah tahap keyakinan rakyat terhadap wabak Covid-19.

Apa yang dimaksudkan dengan kerjasama meliputi perbuatan yang luas. Dari sentiasa mengambil berat terhadap arahan dan saranan dari pihak berkuasa sampailah kepada mendaftar untuk menjalani vaksinasi. Termasuk di dalamnya ialah hanya keluar rumah jika perlu. Tidak menganjurkan dan menghadiri majlis.

Kerjasama ini pula perlu dilakukan bukan kerana takut dikenakan kompaun tetapi atas dasar kesedaran dalam diri sendiri bahawa wabak Covid-19 adalah berbahaya terhadap dirinya, keluarganya dan orang ramai. Dalam hal ini setiap orang pula tidak boleh mementingkan diri sendiri semata-mata kerana mereka hidup bergantung pada keluarga dan masyarakat.

Apabila membaca media sosial, terdapat banyak orang bukan saja tidak memberi kerjasama tetapi mereka turut mempertikaikan arahan dan saranan pihak berkuasa dalam menangani wabak ini. Perkara ini dilihat sebagai berpunca dari kurang keyakinan. Ia berlaku di pelbagai lapisan masyarakat, daripada kalangan golongan yang disebut sebagai kayangan hinggalah kepada rakyat marhaen. Termasuk ada menteri sendiri yang turut tidak memberi kerjasama dengan melanggar SOP. Apabila ditegur, pelbagai alasan dikemukakan. Tidak hairanlah angka jangkitan virus ini meningkat begitu rupa.

Kebanyakan rakyat tetap memberi kerjasama. Tetapi dalam memerangi wabak ini, ia perlu kerjasama semua orang kerana jika tidak, virus ini membolos kepungan dan menyambung rantai jangkitan.

Sikap tidak memberi kerjasama ini juga berasaskan pada keadaan masyarakat sebelum datangnya wabak ini. Umpamanya, adalah kebiasaan bagi golongan kayangan menggunakan pengaruh mereka, seperti memanfaatkan kabel untuk mendapatkan sesuatu atau mengelak daripada mematuhi peraturan. Ia tidak patut berlaku dalam negara demokrasi yang mengamalkan kesaksamaan kedudukan warga negara. Tetapi ia berlaku juga. Perkara ini diketahui umum dan seolah-olah dapat diterima oleh masyarakat. Maka apabila keadaan ini berlaku juga semasa adanya wabak Covid-19, rakyat tidak boleh terima kerana bukan saja kerana soal ketidakadilan tetapi juga boleh menjejaskan usaha melawan Covid-19.

Satu lagi perkara yang menyebabkan perkara ini terserlah ialah kerana adanya media sosial. Kalau dahulu cerita-cerita ini mungkin tersembunyi dengan pihak media massa yang dikawal kerajaan menutup perkara itu dari diketahui umum. Ia hanya menjadi bahan umpatan yang tidak disahkan kebenarannya. Tetapi dengan adanya media sosial, audio dan video boleh dirakam dan disiarkan serta-merta dengan luas. Reaksi juga boleh dikemukakan dengan mudah. Tanpa media sosial, tidak akan diketahui reaksi orang ramai. Media massa yang dikawal kerajaan tentu mengelak diri untuk menyiarkan reaksi negatif.

Siapakah golongan kayangan? Walaupun istilah ini sudah lama ada untuk merujuk golongan atas dalam masyarakat, tetapi hanya apabila berlaku wabak Covid-19, perkataan ini menjadi popular, dengan tersebar melalui media sosial. Golongan kayangan boleh ditafsirkan sebagai orang yang berpengaruh dalam masyarakat. Mereka bukan saja berharta tetapi juga mempunyai kuasa, atau memiliki pengaruh ke atas golongan berkuasa. Tidak semuanya terkenal. Mereka boleh jadi ahli politik, selebriti seni atau agama, ahli perniagaan atau sesiapa saja yang tampil sebagai orang berjaya.

Golongan kayangan ini seperti yang diketahui umum sering pergi keluar negara. Sama ada untuk bertugas, berniaga atau bercuti. Oleh kerana mereka berharta dan berpengaruh, perkara itu tidak menghairankan. Cumanya pada zaman ini, ke mana mereka pergi, sama ada London atau Mekah dapat diketahui dengan ketara apabila mereka menyiarkan dalam media sosial. Tetapi dengan peraturan bagi membendung wabak Covid-19 ini, mereka tidak dapat pergi keluar negara dan ini menyusahkan kehidupan.

Sememangnya peraturan-peraturan itu membebankan masyarakat. Bagi orang biasa, tidak dapat merentas daerah dan negeri sudah cukup menyukarkan hidup, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan pendidikan dan perniagaan. Jadi semua anggota masyarakat, sama ada golongan kayangan atau murbawan terkesan dengan peraturan PKP.

Tetapi apabila ada orang kayangan terlepas dari peraturan ini kerana kedudukan mereka, maka sudah tentu rakyat marah. Dari PKP awal pada tahun lalu, ahli-ahli politik kerajaan melanggar peraturan. Seorang menteri berjumpa dengan anak golongan kayangan sedangkan pada masa itu semua orang duduk di rumah. Kemudian ada ahli politik kerajaan mengadakan perjumpaan. Kemudian seorang menteri balik dari Turki tanpa kuarantin. Kesemua perkembangkan ini membawa kepada kurangnya keyakinan rakyat.

Sebahagian rakyat pula tidak mempunyai keyakinan tinggi terhadap wabak ini dan cara untuk menanganinya. Perhatian mereka tertumpu kepada menjalani kehidupan seharian dan peraturan-peraturan ini menyusahkan mereka.

Akibatnya mereka tidak memberi kerjasama sepenuhnya. ini mungkin kerana mereka tidak memahami mengenai wabak. Walaupun bertubi-tubi pihak berkuasa berusaha menerangkan pada orang ramai, tetapi mesej itu tidak sampai. Adakah ini kerana kegagalan Kementerian Penerangan? Sebaliknya ada yang terpengaruh dengan teori konspirasi atau berita palsu mengenai wabak ini.

Malah pada awal wabak ini, ada penceramah agama yang memperkecilkan bahaya wabak ini. Baru-baru ini pula ada tertular seorang ustaz yang menceritakan beliau merentas negeri setiap minggu untuk menziarah ibu bapanya. Cara beliau melepaskan diri dari sekatan jalan raya ialah dengan membaca selawat. tentunya perbuatan itu merupakan sikap mementingkan diri dan memudaratkan masyarakat termasuk ibu bapanya.

Ada seorang bapa pula memberi tekanan kepada anaknya supaya pulang berhari raya walaupun merentas negeri. Dia menyatakan kesanggupan untuk membayar kompaun. Hakikatnya ialah kompaun itu bukan soal kesanggupan membayar. Soalnya adalah untuk menghalang merebaknya wabak.

Mengapa rakyat Malaysia tidak berdisiplin? Mungkinkah masyarakat negara ini sebegitu rupa? Tidak berdisiplin dan tidak beretika juga menjadi punca kepada berleluasanya korupsi. Malah penubuhan kerajaan Perikatan Nasional juga berdiri di atas tindakan tidak beretika melompat parti. Maka ia turut menghakis keyakinan rakyat. Menteri-menteri dilantik bukan atas kelayakan mereka tetapi untuk mendapatkan sokongan dari ahli-ahli parlimen bagi penubuhan kerajaan berkenaan.

Malaysia perlukan suasana baharu di mana perjalanan masyarakat hendaklah berdiri di atas disiplin dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan. Semua peringkat, sama ada kerajaan atau rakyat, sama ada golongan kayangan atau marhaen perlu sedar mengenai kepentingan hidup beramanah supaya ada harapan bagi negara ini memperoleh rahmat untuk semua rakyatnya, termasuklah bebas dari wabak Covid-19.


No comments: