KITA MESTI BERANI.KITA BUKANLAH PENDATANG TANPA IZIN DI NEGARA INI.


 Jika UMNO selalu berasakan mereka dibuli oleh Bersatu dalam kerajaan PN yang dibina secara bersama, malah dengan kedudukan Ahli Parlimen UMNO adalah paling ramai jumlahnya, rakyat juga tidak kurang berperasaan yang sama.

Kegagalan kerajaan memberi khidmat yang baik, menteri-menteri yang majoritinya tidak berfungsi, peraturan yang selalu berubah-ubah, pilih kasih dalam undang-undang antara orang kayangan dengan rakyat biasa dan Perdana Menteri yang lebih banyak bisu daripada bercakap adalah antara pembulian yang setiap hari dihadapi oleh rakyat daripada kerajaan PN ini.

Tidak cukup dengan kerajaan PN itu sendiri dibentuk melalui pengkhianatan di mana ia juga suatu bentuk pembulian terhadap undi serta mandat rakyat pada PRU14 lalu, perangai membuli itu berterusan lagi setelah mereka menjadi kerajaan.

PKP yang bersambung sampai fasa tiga setakat ini yang berpunca daripada kegagalan kerajaan menangani wabak Covid19 sehingga balik kampung beraya dan menjenguk ibu bapa pun tidak dibenarkan, rata-rata juga merasakan ia adalah pembulian.

Tambah dahsyat, disebabkan hilang majoriti dan takut hilang kuasa, darurat telah dicadangkan yang bersekali dengannya Parlimen turut digantung sama.

Tidak masuk akal untuk mengaitkan darurat yang Parlimen digantung itu dengan memerangi Covid19, lantaran setelah Ahli-Ahli Parlimen disuntik vaksin pun, Parlimen tetap juga tidak dibuka.

Sebaliknya, sekolah-sekolah di mana guru tidak disuntik vaksin pula yang bebas dibuka, walaupun diketahui banyak kluster baru muncul daripadanya.

Agaknya, kalaulah kedudukan kerajaan dan Perdana Menteri ditentukan antaranya melalui undi guru-guru sekolah, pastilah murid-murid turut menjadi mangsa belajar di rumah saja sepanjang masa.

Selain itu, dalam tempoh darurat juga, kerajaan pimpinan Mahiaddin Md Yassin telah meminda empat undang-undang negara melaui Ordinan Darurat yang memberi kuasa kepada kerajaan melakukannya tanpa membawanya ke Parlimen untuk kelulusan.

Ia adalah undang-undang untuk menaikkan denda bagi penyebaran berita tidak benar dan kompaun melanggar SOP PKP, kebenaran mengguna perbelanjaan tambahan wang negara tanpa meminta kelulusan Parlimen dan mengambil dana Kumpulan Wang Amanah Negara atau KWAN untuk pembelian vaksin.

Semua ini juga suatu pembulian yang terang lagi nyata kepada rakyat kerana sementara rakyat diancam dengan denda dan kompaun yang lebih tinggi, kerajaan dalam waktu yang sama bebas berbelanja sesuka hati, termasuk mengambil dana amanah yang dipersiapkan untuk generasi akan datang.

Kerajaan dalam hal ini ternampak tidak peduli dan tidak malu dengan kegagalan mereka memajukan ekonomi dan menambah tabung kewangan untuk terus berbelanja dengan sebebasnya.

Sebab itu, dengan pembulian yang banyak jumlahnya, berterusan dan tiada seolah-olah tiada hentinya, setiap hari yang berlalu rakyat jadi semakin marah serta meluat kepada kerajaan dan Mahiaddin.

Tidak ada yang bertukar daripada benci kepada suka atau daripada tidak menyokong kepada menyokong, melainkan jika diberi jawatan, kedudukan atau ganjaran.

Melihat trend Mahiaddin memimpin negara ini, beliau dirasakan tidak akan berhenti daripada terus membuli rakyat bagi memastikan kuasa dalam tangannya dapat dipertahankan lagi.

Selepas ini, kita tidak tahu apa lagi undang-undang negara yang bakal dipindanya, tetapi haruslah kita sedar, tindakannya meminda undang-undang yang membolehkan kerajaan mengguna atau berbelanja wang negara sesuka hati tanpa membentangkannya ke Parlimen terlebih dahulu, ia adalah satu bentuk pembulian terbesar kepada rakyat dan pencerobohan sistem kerajaan demokrasi paling parah sekali.

Kita tidak boleh membiarkan amalan seperti itu berterusan lagi.

Sebab itu, meskipun diketahui dan difahami, rakyat semakin hari semakin meluat dan benci, bahkan jumlahnya terus bertambah, kebencian itu mesti ditunjukkan secara terbuka dan jangan dipendam dalam diam begitu saja.

Melalui bidang, kebolehan, keupayaan dan kemampuan masing-masing, setiap orang harus berani bersuara menunjukkan bahawa kerajaan PN yang Mahiaddin pimpin ini adalah malapetaka terbesar bagi rakyat dan negara setakat ini.

Rakyat tidak harus jadi penakut macam pendatang tanpa izin yang bekerja di kilang atau ladang yang akur apa saja perintah majikan, waima jika dibayar gaji tidak setimpal dan kebajikan hidup tidak dijaga.

Kita adalah pemilik mutlak negara ini dan kita berhak mendapat yang terbaik, bahkan kewujudan kerajaan serta senang lenang hidup Perdana Menteri dan menteri-menteri juga adalah atas ihsan rakyat yang menentukannya.

Dalam konteks kerajaan PN ini, berdasarkan apa yang berlaku sejak lebih setahun lalu, lagi lama mereka berkuasa, kemungkinannya tambah habis jahaman negara ini dan terperosok lagi teruk nasib masa depan anak-anak cucu kita dibuatnya.

Jika kita terus dengan sikap penakut, sampai bila-bila pun kita akan jadi mangsa buli.

Maka itu, jangan sesekali kita takut untuk bersuara kerana dengan lebih ramai yang berani bersuara itulah permulaan kepada mungkinnya kerajaan PN ini dijatuhkan serta digantikan dengan sebuah kerajaan lain yang benar-benar berjiwa rakyat dan tidak lagi membuli.

Kuncinya, kita mesti berani dan ingat, kita bukanlah pendatang asing tanpa izin di negara ini. 


(ShahbudinHusin 06/05/2021)





No comments: