Guru gurau rogol masih bertugas, keluarga Ain kecewa


Ain Husniza dan bapanya Saiful Nizam.


KUALA LUMPUR – Bapa kepada pelajar Ain Husniza yang membuat pendedahan mengenai jenaka rogol di sekolahnya kecewa kerana guru berkenaan masih lagi mengajar di sekolah.

Saiful Nizam berkata berkata, anaknya sudah tidak ke sekolah selama dua minggu kerana rasa kurang selesa.

“Kami rasa sekolah sudah tidak selamat kerana guru tersebut masih lagi mengajar di mana saya rasa tidak patut. Bila ada siasatan sepatutnya guru itu diberikan cuti sementara.

“Guru itu masih lagi mengajar seperti biasa dan lebih memburukkan keadaan guru masuk dalam kelas dan mengajar dalam keadaan yang emosi tidak stabil,” katanya dalam sesi siaran langsung bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Facebook, hari ini.

Saiful Nizam mendakwa, guru berkenaan masih beremosi dengan mengatakan dirinya dianiaya.

“Dia menangis depan pelajar dan berkongsi cerita bahawa dia dianiaya dan sebagainya.

“Ini sedikit sebanyak menggangu siasatan dan memberikan pengaruh kepada pelajar-pelajar lain untuk kesian kepada guru berkenaan,” katanya lagi.

Sebelum ini, Ain yang belajar di sebuah sekolah di Selangor menjadi tumpuan di media sosial selepas memuat naik video di TikTok, memetik guru sekolahnya berkata “jika kamu (pelajar) mahu merogol, jangan rogol seseorang bawah 18 tahun. Rogol orang melebihi 18 tahun.” – MalaysiaGazette