Permohonan kedua kerajaan PAS Kelantan untuk ‘lockdown’ ditolak kerajaan Pusat

 

Permohonan kedua kerajaan PAS Kelantan untuk ‘lockdown’ ditolak kerajaan Pusat

Kerajaan persekutuan menolak permohonan kali kedua Kelantan bagi pelaksanaan ‘lockdown’ atau perintah kawalan pergerakan (PKP) lebih ketat sekali lagi.

Ini kerana langkah itu dilihat akan memberi impak besar kepada ramai pihak, khususnya apabila membabitkan lebih banyak penutupan operasi dalam sektor ekonomi.

Menurut sumber, keputusan itu diperoleh petang semalam susulan cadangan dikemukakan kepada kerajaan beberapa hari lalu.

“Sekiranya ‘lockdown’ itu dilaksanakan, kerajaan pusat perlu menyediakan insentif khas kepada golongan yang terjejas dan ia membabitkan peruntukan yang besar.

“Jadi kerajaan pusat mencadangkan supaya Kelantan memperketatkan lagi prosedur operasi standard (SOP) yang sedia ada bagi mengekang penularan Covid-19,” katanya yang enggan disiarkan namanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, Malaysiakini melaporkan kerajaan Kelantan dikatakan mengulangi permohonan untuk melaksanakan sekatan ketat di bawah PKP seperti mana PKP 1.0 yang dilaksanakan pada Mac tahun lalu.

Jelas sumber, langkah itu dikemukakan kepada kerajaan pusat dalam usaha mengekang penularan Covid-19 di negeri itu yang dilihat membimbangkan.

Dalam perkembangan sama sumber yang rapat dengan pengurusan bencana Kelantan itu berkata, antara SOP yang boleh diperketatkan seperti menghadkan kapasiti penumpang kenderaan selain menetapkan ketua keluarga sahaja dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan.

“Jika SOP sekarang tiada had jumlah penumpang dalam sebuah kenderaan dan ia boleh diperketatkan kepada hanya dua individu bagi sebuah kenderaan.

“Selain itu, mungkin hanya perlu benarkan ketua keluarga sahaja keluar untuk membeli barangan keperluan,” katanya.

Sementara itu Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob berkata, kerajaan negeri ada menghantar laporan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan menyatakan situasi kes Covid-19 di negeri mencapai tahap yang mencemaskan.

“Kita hantar laporan menyatakan Kelantan ini di peringkat yang dah cemas.

“Sepatutnya dengan apa yang berlaku dah tinggi (kes), tetapi pihak-pihak tertentu memikirkan banyak sudut. Perkara ini (lockdown) kita perlu dengar pandangan banyak pihak.

“Jadi kita tunggulah apa-apa yang bersesuai akan diarahkan kepada Kelantan,” jelasnya ketika ditemui selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini. 





No comments: