May 6, 2021
Walaupun bertaraf selebriti pasangan Awal Ashaari dan Scha Alyahya tetap tabah menahan perasaan untuk berkongsi kegembiraan dengan orang lain atas kehadiran anak terbaru mereka.
Memahami prosedur operasi standard (SOP) ketat yang perlu dipatuhi semua, Awal berkata, mereka bersetuju untuk menangguhkan dulu keraian itu bagi mengelak sebarang isu yang tidak diingini di kemudian hari.
“Masa Lyla Amina lahir, pihak pengurusan hospital melaksanakan SOP yang amat ketat. Mak saya dan semua ahli keluarga pun tak dapat melawat Lyla Amina.
“Saya dan Scha pula memang tak berani nak jemput sesiapa datang ke rumah pada waktu sebegini.
“Ada adik-beradik yang turut luahkan hasrat mereka nak datang melawat pun kami kata: jangan… tunggu dululah,” katanya.
Memang pada awal kata pemilik nama penuh Ahmad Awaluddin Ashaari itu dia dan Scha mengimpikan agar dapat meraikan Aidilfitri dengan meriah pada minggu depan bersama sanak-saudara dan anggota keluarga terbaru mereka.
Pun begitu, hasrat itu nampaknya tidak kesampaian selepas kerajaan semalam mengumumkan Kuala Lumpur diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula esok.
Beraya dalam ‘kecewa’
Perintah itu dilaksanakan lewat sehari selepas PKP sama diumumkan untuk enam daripada sembilan daerah di mulai hari ini sehingga 20 Mei.
Kata Awal, mengikut perancangan, dia dan Scha ingin membawa Lyla Amina beraya ke rumah neneknya.
“Ingatkan raya kali ni dapatlah berkumpul sanak dan saudara. Tapi dah PKP, nak raya apa lagi, hanya dapat beraya dalam kekecewaan sajalah,” ujarnya secara berseloroh.
Awal berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran produk sambal Schambal di sebuah kompleks beli-belah di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur semalam.
Pasangan yang berkahwin sejak 2012 itu menimang bayi perempuan kedua, Lyla Amina, pada 12 Feb lalu di sebuah pusat perubatan swasta di ibu negara.
Sebelum ini mereka dikurniakan Lara Alana yang lahir pada 22 Julai 2014.
Isu menyambut kedatangan ahli keluarga baru akhir-akhir ini memang ‘panas’ selepas penyanyi terkenal, Siti Nurhaliza Tarudin mengadakan majlis meraikan anak keduanya dalam majlis yang dihadiri orang kenamaan dan popular termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri Zulkifli Mohamad.
Penyanyi Bukan Cinta Biasa itu dan suaminya, Khalid Mohamad Jiwa, juga dikritik kerana didakwa melanggar SOP sewaktu mengadakan majlis untuk mentahnik, akikah dan maulid Muhammad Afwa pada 27 April lalu.
Bagaimanapun, Siti Nurhaliza, 42, dalam satu kenyataan kemudian menegaskan tiada sebarang pelanggaran SOP berlaku.