Syarikat taikun ambil alih Lapangan Terbang Subang? Bakal undang masalah besar, kata sumber

 

Taikun hartanah, Desmond Lim, mengemukakan kepada kerajaan kertas cadangan untuk mengambil alih Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah dan kawasan sekitar.

PETALING JAYA: Cadangan seorang ahli perniagaan mengambil alih lapangan terbang di Subang, boleh menjejaskan rangkaian lapangan terbang yang dikendalikan syarikat negara, Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB), kata sumber kepada FMT.

Amaran itu diberi susulan laporan sebuah portal bahawa WCT Holding, yang dikuasai taikun hartanah, Desmond Lim, mengemukakan kepada kerajaan kertas cadangan untuk mengambil alih Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (SAAS) dan kawasan sekitar untuk pembangunan komersial, termasuk pusat beli-belah, pejabat, dan tempat pameran.

Menurut sumber, cadangan WCT itu, sekiranya diluluskan kerajaan, boleh menjejaskan KLIA, kerana ia juga berhasrat untuk menjalankan perkhidmatan freight ekspres dan perjalanan udara komersial di SAAS.

Kata sumber, kargo ekspres di SAAS akan secara langsung bersaing dengan KLIA dan menjejaskan usaha MAHB menempatkan KLIA sebagai hab kargo serantau.

Sumber juga berkata, jika kerajaan meluluskan pengambilalihan itu, SAAS berkemungkinan bersaing dengan KLIA dalam pasaran penumpang premium, lantas menjejaskan daya maju KLIA bagi syarikat penerbangan perkhidmatan penuh sehingga memaksanya menjadi hab penerbangan kos rendah.

Menurut laman The Vibes, WCT dalam cadangannya kepada Kementerian Pengangkutan, menyatakan niat syarikat itu untuk menjalankan perkhidmatan freight ekspres dan perjalanan udara komersial, selain projek hartanah di tapak SAAS dan sekitarnya.

Sumber mempertikaikan cadangan WCT menjalankan pembangunan komersial itu, kerana ia hanya akan memburukkan lagi lebihan unit tak terjual dalam sektor hartanah yang sedang bergelut mencari penyewa.

Katanya, terdapat pusat perdagangan lain dalam lingkungan 5km dari SAAS, seperti Ara Damansara Oasis dan Pusat Perniagaan Glomac, yang sukar mendapatkan penyewa khususnya untuk pusat beli-belah.

“Adakah projek pembangunan komersial di Subang ini memberi manfaat kepada penduduk dan negara? Saya rasa tidak,” katanya.

No comments: