SHAHIDAN SUDAH BERANI UGUT, APAKAH UMNO MAHU BERDIAM DIRI SAJA?

 

Orang kuat Umno Perlis, Shahidan Kassim mengugut untuk memutuskan hubungan dengan kepimpinan pusat sekiranya mereka tetap meneruskan untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu pada perhimpunan agung Umno akhir bulan ini.

Shahidan berkata beliau tidak bimbang jika tindakan diambil terhadap Umno Perlis di bawah pimpinannya.

“Kalau Perlis buat keputusan, mereka nak buang Perlis, maka buang lah,” kata pengerusi Perhubungan Umno Perlis yang juga pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional, kepada Talk, Now, program temu bual isu semasa yang diterbitkan MalaysiaNow.

Perhimpunan agung Umno yang akan berlangsung pada 27 Mac akan diadakan di tengah-tengah desakan sebahagian pemimpinnya untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu pada pilihan raya umum akan datang.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri, Najib Razak sejak akhir-akhir ini meningkatkan kritikan terhadap Bersatu sambil menuduh parti pimpinan Muhyiddin Yassin itu mengenepikan Umno dalam pelantikan jawatan penting kerajaan.

Malah, kedua-dua pemimpin terpalit rasuah itu mendesak PAS mengikuti langkah mereka meninggalkan Bersatu.

PAS yang terikat dengan perjanjian dikenali sebagai “Muafakat Nasional” bersama Umno ketika kedua-duanya berada dalam pembangkang, berulang kali menyatakan komitmennya untuk menyokong pentadbiran Muhyiddin.

Shahidan, yang juga ahli Parlimen Arau, turut mempersoalkan seruan pemimpin Umno agar PAS meninggalkan Bersatu, sedangkan katanya parti Islam itu sudah bersama-sama dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

“PAS berdaftar dengan PN. Jadi bererti kalau kita mahu PAS, PAS mesti syaratkan kita mesti bersama Bersatu.

“Kalau kita nak Bersatu, kita tak nak PAS, tak boleh sebab PAS dalam PN,” kata ahli politik veteran itu.

“Bagi kami, biarlah berlaku perundingan supaya di mana BN, PN tak bertanding. Di mana PN bertanding, BN tak bertanding. Kita nak rundingan itu saja,” tambahnya.

Dalam temubual itu, Shahidan juga berkata Umno bukan lagi platform bagi ahli politik secara automatik menaiki tangga politik dengan mudah.

Ini kerana katanya, suatu ketika dulu, memang Umno sebuah parti yang tidak boleh diganti.

“Jadi dalam kalangan orang Umno itu yang orang kata yang hebatlah. Tidak boleh berubah, disentuh pun tak berubah. Parti itu adalah keutamaan.

“Sebab itu zaman itu sampai lah satu ketika 90-an begitu Umno adalah sebuah parti yang siapa bertanding atas nama Umno, kita akan menang.

“Itu contoh. Zaman itu lain. Sekarang zaman berubah. Lebih lebih lagi kita ada handphone, kita ada pandangan-pandangan yang dinamik, so berubah dari semasa ke semasa,” katanya kepada Talk, Now.

Sumber – https://www.malaysianow.com/berita/2021/03/19/umno-perlis-sedia-gerak-sendiri-jika-pusat-putuskan-hubungan-dengan-bersatu/





No comments: