Selangor lancar buku Arif Belanja untuk generasi muda rancang kewangan

 


Kerajaan Negeri Selangor melancarkan buku bertajuk, Arif Belanja bagi memberi kesedaran kepada generasi belia negeri itu mengenai kemahiran mengurus kewangan dalam suasana pandemik Covid 19.



Bagi Exco Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, buku itu bermanfaat kepada golongan muda untuk merancang perbelanjaan dan mengelakkan situasi berhutang atau terlebih berbelanja.



"Hari ini kita melancarkan buku Arif Belanja sebahagian daripada kempen kesedaran pengguna berkenaan pengurusan kewangan.



"Kita telah mengedarkan buku pengurusan kewangan kepada golongan sasar, iaitu golongan muda. Kita melihat golongan muda di Selangor antara mempunyai pendapatan yang baik tetapi dalam masa sama kita perlu memberi pendidikan pengurusan kewangan supaya mereka tidak terjebak dalam masalah muflis atau salah urus kewangan sedia ada.



"Diharapkan dengan adanya kempen ini akan dapat memberi kesedaran kepada rakyat negeri selangor khususnya generasi muda supaya mengatur perbelanjaan dan mengurus kewangan mengikut keperluan yang ada," katanya.



Buku terbitan Kerajaan Negeri itu, kata Zawawi akan diberi secara percuma dan pengedaran dilakukan melalui pejabat DUN serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).



"Kita cetak 1,000 nashkah dan akan tambah lagi jumlah ini. Kita sasarkan mungkin 10,000. Agihan melalui pejabat DUN dan juga PBT kerana ini rangkaian yang baik untuk kita menyampaikan mesej Kerajaan Negeri kepada kumpulan sasar.



"Sebelum ini kita rancang melalui masjid dan surau, kerana pandemik jumlah yang hadir terhad. Oleh itu, kita merasakan melalui PBT pendekatan lebih baik," katanya lagi.

 

No comments: