Dr Michael Teo tidak rela dijual beli, tetap percaya kepada Anwar

 



Ahli Parlimen Miri, Dr Michael Teo Yu Keng hari ini tampil menegaskan bahawa beliau tetap berprinsip dan teguh bersama parti KEADILAN dan menyokong penuh pimpinan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Penegasan itu dibuat selepas beliau mengakui ditawar beberapa kali untuk keluar parti dan menyokong Perikatan Nasional (PN).

"Sejak beberapa bulan yang lalu saya sudah diajak beberapa kali untuk lompat parti dan mengkhianati Anwar.

"Saya telah ditawarkan pelbagai tawaran oleh pihak tertentu yang berusaha meruntuhkan proses demokrasi di negara kita melalui kerajaan pintu belakang.

"Walaubagaimanapun, pendirian saya tetap kuat dan berprinsip dan saya tidak bersedia untuk dijual beli oleh mana-mana pihak.

"Sudah 21 tahun saya pilih untuk mengikut Anwar dan perjuangan parti KEADILAN secara sukarela. Saya tetap percaya Anwar seorang pemimpin yang cukup berwibawa dalam memperjuangkan prinsip reformasi dan KEADILAN untuk semua," katanya.

Beliau juga percaya Anwar mempunyai formula untuk membawa Malaysia keluar daripada kemelut yang kini melanda negara termasuk kemerosotan ekonomi akibat pelbagai penyelewengan dan urus tadbir yang lemah yang menyebabkan kadar kemiskinan makin ketara.

"Saya percaya Anwar dapat menyatukan rakyat majmuk di Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama supaya kita semua dapat hidup secara aman dan harmoni, saya percaya beliau boleh membawa transformasi kepada seluruh Sarawak dan Malaysia, dari segi sosioekonomi, kesihatan, pendidikan dan pembanguan terutamanya pembangungan luar bandar.

"Rakyat golongan B40 dan desa yang tertindas sentiasa menjadi tumpuan beliau. Ini turut merupakan golongan sasaran yang menjadi tumpuan saya di Sarawak selama 50 tahun saya berkhidmat sebagai seorang doktor dan lebih 20 tahun menceburi bidang politik," katanya.

Naib Presiden KEADILAN itu juga menyokong Anwar kerana beliau telah banyak untuk memperjuangkan nasib rakyat sejak zaman 1970-an apabila beliau seorang aktivis mahasiswa di Universiti Malaya dan ditahan dibawah akta ISA kerana memperjuangkan isu rakyat yang mengalami kebuluran dalam peristiwa Baling di Kedah.

"Lebih dua dekad kemudian, apabila beliau memperjuangkan prinsip reformasi dan anti-rasuah di dalam kerajaan pada tahun 1998, beliau telah dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri ketika itu, ditangkap di bawah ISA dan dibelasah dengan teruk di dalam penjara.

"Kebebasan beliau telah dirampas selama 10 tahun apabila beliau dipenjarakan sebagai tahanan politik dan beliau mengalami pelbagai keperitan dan kesakitan dari segi kesihatan ketika itu. Isteri beliau mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah, anak beliau Nurul Izzah dan keluarga turut banyak berkorban untuk rakyat dan bertungkus lumus untuk membina parti KEADILAN selama beliau dipenjarakan sebagai tahanan politik," katanya.

Dr Michael juga menganggap terlalu ramai yang telah mengkhianati Anwar dalam tempoh 21 tahun yang lalu, namun beliau enggan menjadi salah seorang daripada mereka.

"Walaubagaimanapun, saya tidak rela tergolong dalam kumpulan pengkhianat dan akan memilih untuk kekal bersama Anwar dan KEADILAN tidak kira apa jua cabaran yang melanda.

"Saya menyeru semua penyokong dan ahli KEADILAN untuk tetap sabar dan berdiri teguh berprinsip bersama Anwar.

"Parti KEADILAN adalah parti masa kini yang sangat relevan dan parti masa depan yang benar-benar memperjuangkan nasib rakyat. Bersama kita dapat memenuhi aspirasi rakyat, ‘KEADILAN untuk Sarawak, KEADILAN untuk Semua’," katanya.

 

No comments: