KETIADAAN HADI DIKAITKAN DENGAN VISA DAN BERKAITAN DENGAN PENGGANAS.???....KERAJAAN PERLU JELASKAN

 

Ketiadaan Hadi dalam rombongan PM ke UAE, Arab Saudi timbulkan tanda tanya

Pemimpin Amanah Khalid Samad berkata, sebagai duta khas ke Timur Tengah, Abdul Hadi Awang sepatutnya berada di barisan hadapan dalam rombongan perdana menteri ke UAE dan Arab Saudi.

PETALING JAYA: Ketika lawatan rasmi Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ke Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini, ketiadaan seorang individu disedari.

Tidak nampak sama sekali batang hidung Abdul Hadi Awang, duta khas perdana menteri ke Timur Tengah, dan ini menimbulkan tanda tanya.

Mengapakah seorang pegawai penting bertaraf menteri dipinggirkan daripada rombongan itu apabila beliau sepatutnya berada di barisan hadapan dalam lawatan rasmi Muhyiddin selama seminggu itu?

Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata, kecoh di media sosial berkenaan hal ini dengan pelbagai teori diutarakan, dan ini trend tidak sihat buat hubungan Malaysia dengan negara di rantau itu.

Salah satu spekulasi menyatakan bahawa UAE tidak mahu memberikan Hadi visa dengan alasan beliau menganggotai organisasi Islam yang masih disenaraikan sebagai pengganas oleh beberapa negara di rantau itu.

“Tidak adil kita membuat tuduhan liar, tetapi kerajaan tidak sepatutnya mengabaikan persoalan yang dibangkitkan (mengenainya).

“Penting bagi pejabat perdana menteri menjelaskan perkara tersebut dan menghentikan perdebatan yang tidak sihat di media sosial.

“Jika benar visa (buat Hadi) tidak diberikan atas alasan ini, kerajaan mesti berterus terang dan memaklumkan rakyat tentang hal sebenar,” kata Khalid kepada FMT.

Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata, sekiranya Hadi sememangnya tidak dibenarkan berkunjung ke beberapa negara di rantau itu, maka lantikannya sebagai duta khas ke Timur Tengah sia-sia.

Terdahulu dilaporkan Hadi pernah dilantik sebagai naib presiden sebuah organisasi Islam berpangkalan di Qatar, iaitu Kesatuan Sarjana Islam Antarabangsa (IUMS)

Organisasi itu diisytiharkan sebagai kumpulan pengganas oleh empat negara Teluk yang antikeganasan, iaitu Arab Saudi, Mesir, UAE dan Bahrain.

Laporan itu turut menyifatkan entiti tersebut sebagai organisasi yang mempromosikan keganasan menggunakan retorik Islam sebagai samaran kepada kegiatan mereka mendukung pelbagai aktiviti pengganas.

PAS dan Hadi sebelum ini menafikan dakwaan itu, dengan menyatakan Malaysia tidak menyenaraikan organisasi itu sebegitu.