HAYATI KENYATAAN DR MUJAHID DAN BELAJAR BIJAK SIASAH DARIPADANYA.

 

Kenyataan Naib Presiden Amanah Dr Mujahid Yusof yang dikeluarkan hari ini menjelaskan, sikap pendirian dan boleh dijadikan bingkai politik Amanah sebenarnya. Kenyataan Dr Mujahid itu memberi penjelasan kepada suatu kekeliruan yang dibuat oleh segelintir mereka yang daya politik rendah dan tidak muhid siasah.

Kenyataan dikeluarkan Dr Mujahid dilihat terbangkit daripada kenyataan beberapa ahli parlimen pembangkang termasuk oleh Timbalan Presiden Amanah sendiri.

Sekaligus kenyataan itu Dr Mujahid mengajar dan menyekolah mereka yang dilihat tumpul (bukan kemetot) minda politik.

Dr Mujahid atas sifatnya sebagai pemimpin dan mempunyai pegangan yang mampan cuba memberi peringatan kepada pelopor Politik Grekok (Grand Coalition) sebelum ini. Apabila pelopor politik Grekok seakan melupai apakah yang mahu dicapai disebalik agenda itu, tetapi dalam masa sama menolak untuk bersama Umno menjelaskan kedangkalan dan kesundalan minda politiknya.

Sebelum ini pelopor Politik Grekok itu juga mahu menghimpunkan semua parti politik bagi mendepani kerajaan PN, tetapi dalam masa sama mereka tidak mahu memasukkan Umno dalam Politik Grekok itu sedang aset dimiliki Umno besar. Apakah kerana melihat Umno itu terlalu jijik dan kita pula terlalu putih? Putihkah diri kita berbanding dengan diri orang Umno?

Apabila ada ahli parlimen pembangkang yang menyatakan penolakan mereka kepada Umno untuk dibawa sama ia seolah bertentangan dengan agenda dan nawaitu politik Grekok itu. Ini agak pelik dan mungkin menyedari kepelikan ini maka Mujhid membuat penjelasan dan penegasan.

Bagi Dr Mujahid membawa dan mengajak bersama Umno ke dalam persepakatan politik untuk menjatuhkan kerajaan PN, bukan bermakna bersekongkol dengan kleptokrat yang ada dalam Umno. Mujhid tahu ia bertentantang dengan nilai Amanah, tetapi ia tidak boleh ditolak kalau kerjasama itu boleh bantu membawa nilai itu. Cara Mujahid berfikir itulah cara berpolitik sebenarnya. Menambah rakan mengurangkan musuh mengutamakan isi bukan kulit

Dr Mujahid menuntut kejelasan dalam bertindak dan seterusnya bijak dalam politik. Mereka yang tolak untuk bersama Umno, dan dalam masa sama membentuk Politik Grekok adalah mereka yang dangkal dan tohor ilmu politik kerana ia kontradik. Mereka ini adalah penimba lautan yang tidak mungkin kering sampai ke bila-bila.

Dalam tilikan saya berdasarkan kenyataan dan solusi dalam sesuatu isu serta meletakkan Amanah sebagai sebuah parti berkualiti Dr Mujahid sepatutnya diangkat menjadi presiden Amanah atau diberikan peranan khusus untuk menjawab dan mengulas apa-apa isu politik berhubung dengan parti itu. Ini bagi mengelakkan parti itu tidak blur dan lemas disebabkan beberapa aksi pemimpin yang kehilangan punca dan meroyan dan gabra setelah kehilangan jawatan. Trims.

- MSO

Dibawah adalah kenyataan Dr Mujahid.

*******************************

KUKUHKAN KEJELASAN KITA

1. Semua sedia maklum prinsip 'kesatuan melahirkan kekuatan'. Tidak salah untuk mengingatkan supaya kukuhkan kita kerana sekian lama dalam politik itulah slogan yang didengungkan. Demikian yang dilakukan oleh beberapa di kalangan MP pembangkang dari AMANAH, DAP, MUDA dan WARISAN mengingatkan Ketua Pembangkang yang juga Pengerusi Majlis Presiden PH.

2. Namun demikian, kita perlu menjangkau lewat slogan dan retorik kepada soalan lebih mendasar, iaitu apakah tujuan utama seruan pengukuhan pembangkang? Kita harus menghayati apakah dia 'big picture' yang kita perlu nampak sebalik seruan kukuhkan kita. Jelaskah kita?

3. Kita sebagai rakan setia dalam Amanah, Keadilan dan DAP telah membuktikan kesatuan kita. Kita menjayakan usaha mengambil mandat kembali di kalangan 220 MP yang diputuskan oleh Majlis Presiden PH dan saya yakin semua pihak memainkan peranan masing-masing dengan bersungguh-sungguh.

4. Kenapa semasa usaha kembalikan mandat itu, kita juga mensasarkan ahli-ahli parlimen UMNO demi meyakinkan mereka keperluan ambil mandat semula? Apakah kita mengajak mereka sebagai ahli parti kleptokrat ataukah kita mengajak mereka untuk selamatkan prinsip demokrasi? Kita juga meyakinkan WARISAN dan PEJUANG atas nada dan nafas yang sama walaupun parti tersebut ada isu dengan DSAI.

5. Kenapa semasa kita bercakap tentang 'Grand Coalition' (Kerjasama Besar Politik) kita cuba kesampingkan potensi pihak lain termasuk UMNO? Ataukah kita sempitkan yang 'Grand' itu kepada pilihan tertentu sahaja? Mana kejelasan kita dalam membawa agenda yang kerananya kita memerlukan Kerjasama Besar-besaran Politik?

6. Kita bukan hendak menjatuhkan PN tetapi kita hendak menamatkan politik jelik, kotor dan rasuah jijik yang diamalkan oleh PN untuk kekalkan pengkhiantan mereka. Kita melawan atas prinsip nilai bukan membabi-buta! Kejelasan inilah yang merupakan prinsip yang tidak boleh dikompromi dalam membina kerjasama kita dengan semua pihak termasuk UMNO. Kita bertemu dengan agenda besar bukan agenda peribadi. Begitulah juga kita mendekati BERSATU diambang PRU ke 14. Kini jelas siapa yang membelakangkan agenda besar kita.

7. Dengan mengisyaratkan fokus kukuhkan pembangkang kita telah membuat percanggahan kepada kenyataan Grand Coalition kita yang awal. Bukankah dengan berjumpa semua pihak itu mampu mengkukuhkan kita dan akan menjayakan Grand Coalition kita? Kenapa kita disekat dengan istilah parti kleptokrasi dan kluster mahkamah? Bukankah perkara ini telah ditegaskan beberapa kali dalam kenyataan bersama Majlis Presiden PH bahawa tiada kompromi kepada kes mahkamah yang sedang berjalan dan perlu menerima asas reformasi yang kita aspirasikan bersama.

8. Sebab itu saya bertanya apa tujuan semua ini? Jika kita meletakkan pembangkang lawan PN kita tidak akan meramaikan penyokong, tetapi jika kita letakkan landasan 'ayuh bersama tamatkan kejelikan politik dan pulihkan demokrasi' maka pasti ada di kalangan parti politik lain yang akan bersama kita termasuk UMNO. Itulah semangat Grand Coalition.

9. Untuk rekod, sepanjang sejarah BA, PR dan PH tidak ada kerjasama politik yang termetrai melainkan dengan syarat dan komitmen agenda reform yang menjadi teras perjanjian. PAS, BERSATU tinggalkan kita kerana tidak ada iltizam dengan semangat reform dan tidak istiqamah. AMANAH, DAP dan KEADILAN solid kerana meyakini agenda reform. Kenapa kita isyaratkan tidak mahu kerjasama dengan parti kleptokrasi? Apakah kita lebih lemah dari kleptokrasi hari ini? Bukankah kita telah membuktikan agenda kita lebih besar dari agenda kleptokrasi?

10. Kita harus jujur pada cita-cita kita, sebesar kejayaan kita adalah membangkitkan dhomir hati manusia kepada menolak pengkhianatan, kefasadan politik dan membangkitkan dhomir menyokong sikap Adil, Ihsan dan Islah.

Semoga kebangkitan dhomir dalam hati-hati orang UMNO dan rakan-rakan lain akan mengukuhkan semua kita demi kita pulihkan demokrasi dan sembuhkan negara dari para perosak negara dan pencabul prinsip demokrasi.

Kukuhkan kejelasan kita dahulu!

DS Dr Mujahid Yusof Rawa

Naib Presiden AMANAH

Ahli Parlimen Parit Buntar

18hb March 2021

 May be an image of text that says "Mohd Sayuti Omar Favourites 7h HAYATI KENYATAAN DR MUJAHID DAN BELAJAR BIJAK SIASAH DARIPADANYA. Kenyataan Naib Presiden Amanah Dr Mujahid Yusof yang dikeluarkan hari ini menjelaskan, sikap pendirian dan boleh dijadikan bingkai politik Amanah sebenarnya. KenyataanDr Mujahid itu memberi penjelasan kepada suatu kekeliruan yang dibuat oleh segelintir mereka yang daya politik rendah dan tidak muhid siasah. Kenyataan dikeluarkan Dr Mujahid dilihat terbangkit daripada kenyataar beberapa ahli parlimen pembangkang termasuk oleh Timbalan Presiden Amanah sendiri."

May be an image of text

May be an image of ‎1 person and ‎text that says "‎الرياة HAR PAN IATAN Amanah " Kita melawan atas prinsip nilai bukan membabi-buta! buta! Kejelasan inilah yang merupakan prinsip yang tidak boleh dikompromi dalam membina kerjasama kita dengan semua pihak termasuk UMNO " DATUK SERI DR MUJAHID YUSOF RAWA Naib Presiden AMANAH Ahli Parlimen Parit Buntar DRMUJAHID DrMujahid Rawa @muja DR‎"‎‎