PAS diberi kata dua, nak ‘kahwin’ dengan UMNO atau Bersatu – UMNO Kelantan
PAS diminta membuat keputusan yang jelas sama ada mahu bekerjasama dengan Umno atau Bersatu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Gesaan itu dibuat oleh Umno Kelantan selepas mesyuarat badan perhubungan negeri, semalam.
Setiausaha Umno Kelantan Akbar Salim berkata, usul itu dipersetujui 12 daripada 13 ketua Umno bahagian yang turut bersetuju supaya parti itu memutuskan hubungan dan kerjasama dengan Bersatu.
“Mesyuarat juga memutuskan hubungan dan kerjasama dengan parti Bersatu. Sebagaimana usul yang diluluskan dalam 12 mesyuarat perwakilan bahagian daripada 13 bahagian yang bermesyuarat.
“Kita juga meminta parti PAS membuat keputusan jelas dan segera sama ada bersama Umno atau bersama Bersatu dalam menghadapi PRU15,” katanya dalam kenyataan media di Kota Bharu, hari ini.
Katanya, Umno Kelantan mendukung kepimpinan Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden parti yang dipilih secara demokrasi.
Tambahnya, Umno Kelantan beranggapan pendirian yang dibuat oleh bahagian Ketereh terhadap Ahmad Zahid sebelum ini sebagai kes terpencil.
“Pendirian Umno bahagian Ketereh yang dihantar kepada pesiden adalah kes terpencil kerana tidak melalui badan perhubungan Umno negeri,” katanya.
Terdahulu pada 20 Mac lalu, Umno Ketereh menyatakan akan menghantar surat kepada Ahmad Zahid bagi menyatakan pendirian yang mengandungi empat perkara yang telah ditandatangani oleh 30 Ahli Jawatankuasa parti bahagian berkenaan.
Ketuanya Annuar Musa berkata antara empat perkara tersebut adalah ketetapan untuk terus menyokong kerajaan gabungan Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).