POSTED BY AMIR WRLR
Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Terengganu (MPNT) menafikan dua
nama yang dikaitkan dengan parti merupakan pemegang jawatan dan ahli berdaftar
KEADILAN.
Menurut Ketua Penerangan Negeri, Syed Mohd Al-Amin Tuan Sharif, nama individu yang baru-baru ini tular di media dia sosial dan dikaitkan dengan jawatan dalam sayap Srikandi KEADILAN adalah palsu
Katanya setelah melakukan semakan, Saudari Yuslaini Azmi tidak pernah dilantik memegang sebarang jawatan dalam Srikandi.
"Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Terengganu mengambil perhatian serius terhadap repot polis bertarikh 16 Mac lalu yang telah dibuat oleh Saudari Yuslaini Azmi atau lebih dikenali sebagai Leny. Salinan repot tersebut tersebar secara meluas di media sosial. Difahamkan beliau telah ditahan oleh pihak polis di bawah Akta Hasutan untuk siasatan lanjut.
"Dari pemantauan MPNT, Yuslaini Azmi kerap kali menggunakan nama-nama jawatan parti sama ada di peringkat Cabang mahu pun Negeri apabila beliau dilibatkan dalam beberapa program dan kenyataan media yang dibuat. Antara jawatan-jawatan yang digunakan untuk menampilkan diri sebagai aktivis politik ialah Ketua Srikandi Negeri dan Ketua Biro Wanita Muda AMK Negeri Terengganu.
"Hasil semakan dari Daftar Pimpinan Negeri KEADILAN Terengganu (2018 - 2021) di pejabat Setiausaha Negeri KEADILAN Terengganu yang dikemaskini sehingga 15 Januari 2021 mendapati Yuslaini Azmi tidak pernah dilantik sebagai penyandang jawatan Ketua Srikandi Negeri atau Ketua Biro Wanita Muda AMK Negeri, sebagaimana yang didakwa," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Syed Mohd Al-Amin lagi, lantikan untuk jawatan Ketua Srikandi Negeri adalah di bawah bidang kuasa Ketua Wanita Negeri sebagaimana dinyatakan dalam Peraturan Wanita KEADILAN 2014 pada Perkara 11 Bahagian 11.4.
Sementara jawatan Ketua Biro Wanita Muda AMK Negeri yang diwujudkan mestilah terlebih dahulu mematuhi Perkara 14 Bahagian 14.2
sebagaimana dinyatakan dalam Peraturan Angkatan Muda KEADILAN
2014.
Dalam pada itu, katanya, MPNT juga ingin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan pihak-pihak tertentu bahawa Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid, bekas ADUN Air Putih sebagai anggota KEADILAN.
"Kami menyemak dengan penuh teliti rekod Daftar Induk Anggota KEADILAN Negeri Terengganu dan Daftar Cabang Kemaman (rekod sehingga 16 Oktober 2020) dan mendapati nama beliau tidak wujud sama sekali dalam daftar tersebut.
"MPNT beranggapan bahawa kedua-dua insiden ini digunakan oleh pihak-pihak tertentu yang cuba mengatur langkah dengan muslihat politik
murahan serta mengambil kesempatan secara sengaja untuk
menjejaskan imej KEADILAN khususnya di Terengganu.
"Pemaparan berita yang tidak bertanggungjawab secara berlebihan dan berterusan yang dikaitkan dengan KEADILAN Terengganu membuktikan bahawa parti ini mula mendapat perhatian dan tempat tersendiri di kalangan rakyat negeri ini," katanya lagi.