Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff dinasihati oleh anggota Majlis Tertinggi Umno agar menjadi “profesor politik dan bukan pencacai”.
Datuk Dr Puad Zarkashi dalam tulisan di Facebook beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan Kamarul Zaman kononnya Umno meminta dana politik dari Bersatu semasa pilihan raya negeri Sabah.
“Soalnya sahihkah Umno dapat dana dari PPBM. Mana Kamaruzzaman dapat cerita?
“Orang akademik kena telus. Elok dedahkan sumber supaya tidak digelar “pencacai”.
“Nasihat saya, jadilah profesor politik bukan pencacai politik,” kata Puad, bekas timbalan menteri itu kepada Kamarul Zaman.
Menurut Puad, Dr Kamarul Zaman mendakwa Umno minta dana politik daripada Bersatu semasa Pilihan Raya Negeri Sabah tahun 2020.
Menurut Kamaruzzaman, kata Puad, yang minta ialah Tan Sri Annuar Musa yang ketika itu ialah Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN).
“Apakah Annuar Musa bocor maklumat kepada Kamarul Zaman?” tanya Puad.
Menurut Puad, hujah Kamarul Zaman, kalau ikut logik akal, jika Bersatu mahu membuli Umno sudah pasti Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak akan bagi dana kepada Umno.
Katanya lagi, jika benar Umno dibuli oleh Bersatu di PRN Sabah, sudah pasti Umno Sabah negeri pertama akan putuskan hubungan dengan Bersatu.
“Dengan bahasa mudah, ikut logik profesor politik ini ialah, PPBM hilang akal kerana bagi dana politik kepada Umno yang ia mahu buli.
“Sekarang ini siapa yang tidak logik dan hilang akal? Umno, PPBM atau Profesor Politik?.
“Apakah Kamarul Zaman ingat, Umno adalah parti yang boleh dirasuah, di jual beli dan dilacur dengan wang ringgit.
“Nak tanya Kamarul Zaman apakah dengan membina sekolah, jalan kampung dan lain lain maka rakyat wajib undi parti pemerintah?” katanya.
Bagi beliau, bantuan dana bukan alasan Umno boleh dibuli.
“Umno tidak boleh ditikam belakang kerana dana politik. Bukan bermakna boleh sesuka hati taja calon bebas lawan calon Umno,” kata bekas Ketua Pengarah Jasa, badan propaganda kerajaan Barisan Nasional dahulu itu.
Bagi beliau, orang yang membuli ragamnya berbagai.
“Sana sini dia bagi duit. Macam Amerika, dia bantu Iraq untuk serang Iran. Akhirnya, Amerika serang Iraq dan hancurkan negara itu.
“Logikkah Prof Kamarul Zaman?” tanya beliau lagi dalam posting di Facebooknya itu.