Masalah yang dihadapi tatkala negara masih bergelut dengan pandemik COVID-19 hari ini, bukan hanya berpunca daripada kekurangan dari sudut kepimpinan kerajaan, tetapi juga melibatkan sistem secara keseluruhannya.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi CIMB, Datuk Seri Mohamed Nazir Abdul Razak berpendapat, Malaysia menangani krisis kesihatan ini dengan baik di peringkat awal, namun campur tangan politik menjadi punca situasi meruncing.
“Di peringkat awal Malaysia melakukannya dengan betul apabila membiarkan pakar menjadi ketua. Semasa mereka yang profesional mengetuai, kita lihat angka jangkitan terkawal.
“Masalah bermula apabila politik mengambil alih, iaitu bermula dengan pilihan raya negeri Sabah, angka jangkitan semakin teruk.
“Krisis kita sekarang adalah pada sistem, bukan sekadar isu kepimpinan sahaja. Saya fikir dalam sistem kita, pemimpin yang baik pun akan terganggu dengan sistem yang ada.
“Saya pernah menulis berkenaan bagaimana Malaysia sebenarnya diterajui oleh ‘three headed monster’, iaitu politik wang, politik identiti dan ‘concentrational power’. Tiga elemen ini mengganggu pemikiran pemimpin kita,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sesi webinar Leaders Speakeasy, pada Selasa.
Dalam sesi yang berlangsung selama sejam itu, Nazir turut mengimbas kembali bagaimana kebimbangan terhadap legasi Tun Razak menjadi faktor utama yang membawanya terbabit dalam aspirasi pembinaan semula negara atau ‘nation building’.
“Semuanya bermula pada 2015, terutama apabila timbul isu berkaitan 1MDB, saya mula merasakan ada yang tidak betul dalam sistem kepimpinan kita.
“Sejak itu saya memulakan kempen untuk Malaysia ‘reset’ atau bermula kembali, saya mula bercakap tentang perlunya ada majlis penasihat seperti pada tahun 1970 kerana terlalu banyak kerosakan yang memerlukan baik pulih secara keseluruhan,” tambahnya.