SEKAT AIR : KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG HARUS UTAMAKAN RAKYAT NEGERI SENDIRI DALAM SEMUA SEKTOR....

 

"Sedut air selut bukan ugutan, cuma amaran awal," kata MB Kedah kepada Pulau Pinang

Abd Hadi Che Awang
"Sedut air selut bukan ugutan, cuma amaran awal," kata MB Kedah kepada Pulau Pinang
Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri Kedah tidak pernah sesekali menutup pintu rundingan dengan Pulau Pinang dalam isu bekalan air. - Gambar BERNAMA
ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor menjelaskan kenyataannya bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang mungkin akan menyedut air selut dari Sungai Muda sekiranya gagal membuat bayaran bekalan air mentah bukanlah berbentuk satu ugutan.
Sebaliknya, beliau menegaskan, itu merupakan peringatan dan amaran awal kepada kerajaan pimpinan DAP itu memandangkan negeri Kedah mempunyai beberapa projek yang mana memberi kesan besar kepada aliran air Sungai Muda.
Antaranya yang digariskan beliau ialah projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) yang akan dilaksanakan bagi menakung lebihan air di Sungai Muda, khususnya dalam menstabilkan paras air sungai berkenaan pada musim kemarau, sekali gus meningkatkan bekalan air di Kedah.
Tambah Sanusi, baraj (stesen pintu kawalan air) baharu juga akan dibina bagi menstabilkan paras air Sungai Muda untuk memastikan pam-pam Syarikat Air Darul Aman (SADA) tidak tergantung, terutama pada kemarau susulan kekurangan air.
Beliau turut menyatakan bahawa kerajaan negeri Kedah tidak pernah sesekali menutup pintu rundingan dengan kerajaan Pulau Pinang dalam isu bekalan air.
Sebaliknya, kata Sanusi, beliau sentiasa mengalu-alukan sebarang perbincangan bagi menyelesaikan isu yang timbul termasuk menentukan kadar caj bekalan air mentah yang perlu dibayar oleh kerajaan pimpinan Chow Kon Yeow.
"Pulau Pinang kena bersedia dengan keadaan ini (iaitu sebarang tindakan daripada kerajaan Kedah), saya kata (sedut) selut orang marah, (selut itu) terjadi apabila air tinggal sedikit, dia jadi ‘keleboq’ (lumpur).
“Siapa biasa mandi sungai dia akan tahu, semasa air banyak, air jernih dan laju, apabila air perlahan dan tinggal sedikit, dia jadi 'keleboq'.
"Kita bagi early warning (amaran awal) kecuali dia (Pulau Pinang) bersedia untuk berpakat dengan kita membuat 'maintenance' (penyeliaan) bagi kawasan tadahan (yang sebelum ini hanya dibayar oleh kerajaan Kedah),” kata Sanusi.
Menteri Besar berkata demikian ketika sidang media selepas Mesyuarat Mingguan EXCO Negeri Kedah, di Wisma Darul Aman, pada Rabu.
Beliau sebelum ini, menyatakan bahawa Pulau Pinang berkemungkinan akan mengepam air selut dari Sungai Muda pada masa akan datang sekiranya masih bertegas enggan membayar pampasan caj bekalan air kepada negeri Kedah.
Ahad lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dalam Konvensyen DAP Pulau Pinang berkata, kerajaan negeri pimpinannya akan bekerja keras dalam memastikan negeri itu menjadi 'Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara' meskipun berdepan pelbagai cabaran seperti ancaman sekatan bekalan air daripada kerajaan Kedah.

No comments: