Apa yang sepatutnya dilakukan Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO hujung minggu ini?
Satu perkara yang jelas akan dilakukan UMNO ialah memuktamadkan putus hubungan parti itu dengan Bersatu dalam PRU15 akan datang.
Berdasarkan senario terkini, disebabkan isu putus hubungan itu adalah usul yang diluluskan oleh majoriti UMNO bahagian-bahagian dalam mesyuarat perwakilan masing-masing tiga bulan sebelum ini, mendapatkan sokongan majoriti perwakilan dalam PAU tentu saja bukan suatu masalah besar.
Meskipun ada percubaan daripada pimpinan puak kiri yang pro Bersatu dalam UMNO untuk mengubah keputusan tersebut, ia barangkali hampir mustahil akan berjaya.
Majoriti ahli dan akar umbi UMNO dilihat lebih cenderung untuk mengekalkan keputusan bahagian-bahagian itu.
Penegasan Presiden UMNO, Zahid Hamidi semalam yang meninta ahli-ahli parti tidak bimbang kerana kumpulan yang mahu menggadai UMNO itu tidak ramai bilangannya, dapat dirasakan sebagai gambaran keyakinannya bahawa PAU 27 dan 28 Mac ini akan berjaya memuktamadkan putus hubungan dengan Bersatu.
Dengan itu, setelah PAU nanti memuktamadkan UMNO tiada lagi kerjasama dengan Bersatu, kiranya PRU15 diadakan sebelum PAU yang seterusnya, itulah yang akan menjadi pendirian UMNO.
Kecuali jika Muhyiddin Yassin berjaya menangguhkan PRU15 sehingga ke tahun 2023 serta dalam tempoh itu pemilihan UMNO dan PAU untuk tahun 2021 dan 2022 perlu diadakan lebih dahulu, barulah kebarangkalian ketetapan putus hubungan dengan Bersatu berjaya diubah.
Sudah tentu, ia akan berlaku sekai dengan perubahan pucuk kepimpinan UMNO daripada Zahid Hamidi kepada pemimpin lain yang pro dan lunak kepada Bersatu serta Muhyiddin.
Selagi Zahid Hamidi dan barisan kepimpinan yang ada sekarang kekal menerajui UMNO, kerjasama dan memberi laluan kerusi tidak akan berlaku dengan Bersatu.
Selain itu, apa yang mengukuhkan lagi kepercayaan bahawa isu putus hubungan dengan Bersatu ini akan berjaya dimuktamadkan adalah kerana semua pimpinan UMNO bahagian-bahagian pasti akan menyokongnya lantaran ia akan memberi banyak peluang kepada mereka untuk dijadikan calon dalam PRU15 kelak.
Sebaliknya, jika wujud kerjasama dengan Bersatu, akan ramai terlepas peluang menjadi calon pilihanraya, terutama di kawasan pelompat katak UMNO yang kini berada dalam Bersatu.
Tambahan lagi, menyedari hakikat bahawa jika PRU15 diadakan dalam waktu terdekat, maka Zahid Hamidi masih merupakan penandatangan watikah calon, hampir pasti kefahamannya ialah menyokong usul putus hubungan dengan Bersatu bermakna juga memihak kepada Presiden UMNO.
Tidak terkecuali, jurucakap PAU kali ini khabarnya turut telah disusun dengan tujuan membentuk gelombang mengekalkan keputusan menolak kerjasama dengan Bersatu itu.
Dengan Zahid Hamidi masih menguasai kepimpinan dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri-Negeri pula adalah lantikannya, memilih dan menyusun jurucakap bagi membentuk gelombang sokongan itu bukanlah sesuatu yang sukar.
Kalau ada pun yang cuba melawan arus hanyalah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Shahidan Kassim, namun jika Zahid Hamidi menggugurkan beliau dan menggantikannya dengan Menteri Besar Perlis, Azlan Man dalam sehari dua ini, selesailah segala masalah.
Tetapi, cukupkah sekadar UMNO memuktamadkan putus hubungan dengan Bersatu saja pada PAU kali ini?
Setelah lebih setahun berada dalam kerajaan bersama dengan Bersatu di mana pembulian telah banyak diketahui, UMNO kini tentu sedar kewujudan parti pimpinan Muhyiddin itu adalah masalah yang berpanjangan baginya.
Selagi UMNO yang besar berada di dalam kepungan Bersatu, parti kecil tetapi memiliki banyak kuasa, UMNO akan terus dibuli, ditekan dan cuba dilemahkan.
Sekiranya PAU 27 dan 28 Mac ini sekadar memuktamadkan putus hubungan dengan Bersatu, tetapi UMNO terus berada dalam kerajaan PN sehingga PRU15 yang tidak tahu bila tarikhnya, masalah parti itu tidak akan selesai, malah mungkin jadi bertambah parah.
Di samping mungkin lebih ramai watak Annuar Musa dan Shahidan Kassim muncul dalam parti, proses “membeli-belah sokongan” bagi memastukan UMNO tunduk kepada Bersatu tidak mustahil tambah diperhebatkan.
Lebih buruk lagi keadaan UMNO dan masa depan Zahid Hamidi jadinya kiranya Muhyiddin berjaya menangguhkan PRU15 sehingga ke tahun 2023.
Dengan kuasa dan wang yang tidak pernah tidur, sedangkan UMNO agak terhad kemampuan dari segi itu berbanding Bersatu, tempoh dua tahun daripada sekarang sehingga 2023,!pasti akan menjadi detik yang huru-hara, caca-marba dan lintang pukang buat UMNO.
Untuk mengelak kemungkinan itu, PAU hujung minggu ini, selain perlu memuktamadkan putus hubungan dengan Bersatu, UMNO juga wajib mengumumkan pendirian keluar segera daripada kerajaan secara serta-merta.
Melalui pendirian keluar segera daripada kerajaan itu juga dapat diketahui keikhlasan dan ke mana hala tuju pemimpin kluster kabinet dalam UMNO dan pengikutnya – kekal bersama parti atau melompat menyertai Bersatu?
Terus berada dalam kerajaan, tetapi telah dimuktamadkan ketetapan putus hubungan atau bercerai dengan Bersatu, tidak lebih seperti UMNO sengaja mengundang bencana.
Terutama kerana memuktamadkan perpisahan itu dengan pasangan yang tidak mahu bercerai, keputusan duduk serumah bukan saja memungkinkan kepada bahaya ilmu guna-guna, malah tidak mustahil diancam bahaya diletakkan “racun tikus” dalam makanan.
(Shahbudindotcom 24/03/2021)