Tengku Adnan didapati bersalah terima rasuah RM2 juta


Firdaus Azil
Tengku Adnan didapati bersalah terima rasuah RM2 juta
Tengku Adnan didapati bersalah atas pertuduhan menerima rasuah RM2 juta daripada ahli perniagaan Tan Sri Chai Kin Kong. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini disabitkan bersalah atas pertuduhan menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada ahli perniagaan Tan Sri Chai Kin Kong.
Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan ketika menyampaikan keputusan berkata pihak pembelaan yang diketuai Datuk Tan Hock Chuan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah atas pertuduhan itu.
Dalam ringkasan penghakimannya, Mohamed Zaini berkata tiada bukti kukuh yang menyokong alasan Tengku Adnan bahawa beliau menerima wang itu bagi pihak Ibu Pejabat UMNO dan wang itu digunakan bagi membiayai Pilihan Raya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
Tengku Adnan didakwa dalam kapasitinya sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada ahli perniagaan Tan Sri Chai Kin Kong yang juga Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB).
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini, pada 14 Jun 2016.
Ahli Parlimen Putrajaya itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan kes bermula pada 2 Julai tahun lepas dengan pihak pendakwaan memanggil 23 saksi untuk memberi keterangan.

No comments: