Kaya pun boleh korup, kata hakim kes Ku Nan.....Malunya aku...

 

Hakim kata mahkamah terima Tengku Adnan Mansor orang berada, tetapi tegaskan RM2 juta tetap jumlah besar walaupun bagi seorang jutawan. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Hakim yang mesabitkan kesalahan terhadap bekas menteri Tengku Adnan Mansor kerana menerima rasuah RM2 juta berkata, silap untuk menganggap golongan kaya tidak akan melakukan jenayah demi meraih keuntungan.

Mohamed Zaini Mazlan berkata, Tengku Adnan, atau lebih dikenali sebagai Ku Nan, ketika perbicaraannya menegaskan beliau orang berada.

Zaini berkata, beliau menerima bahawa Ku Nan bukannya berlagak apabila membuat kenyataan itu, sebaliknya untuk menegaskan bahawa RM2 juta bukanlah jumlah yang mampu menariknya.Bagaimanapun, kata hakim, pada pandangannya RM2 juta tetap jumlah yang besar sekalipun bagi seorang jutawan.

“Silap untuk menganggap orang kaya tidak mungkin melakukan kesalahan jenayah demi keuntungan kewangan,” katanya dalam penghakimannya.

Ku Nan, seorang ahli perniagaan sebelum memasuki politik, dipenjara setahun dan denda RM2 juta selepas didapati bersalah menerima rasuah RM2 juta daripada ahli perniagaan Chai Kin Kong, empat tahun lalu.

Ahli Parlimen Putrajaya itu, yang memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi ketika pembelaannya berkata, beliau tidak menerima manfaat peribadi daripada RM2 juta diberikan Chai kepada syarikatnya, Tadmansori Holdings Sdn Bhd, kerana wang itu “sumbangan politik.”

Katanya, wang itu bagi membantu UMNO dalam Pilihan Raya Kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar pada 18 Jun 2016.

“Dengan rendah diri saya ingin mengatakan saya tidak perlukan RM2 juta itu untuk diri sendiri. RM2 juta umpama wang poket saja.

“Sebelum menyertai Jemaah Menteri pada 2001 atas permintaan perdana menteri ketika itu, saya ahli perniagaan berjaya dan terbabit dalam pelbagai bisnes termasuk hartanah, pembalakan, perkilangan, perdagangan, pertanian, perhotelan, haiwan ternakan, dan makanan,” katanya.

Ku Nan juga gagal meyakinkan mahkamah untuk mengadakan prosiding secara dalam kamar bagi mendedahkan jumlah aset dimiliki atas alasan perkara itu rahsia.

Zaini, dalam penghakimannya sepanjang 87 muka surat hari ini berkata, beliau tidak dapat menerima bahawa hanya Ku Nan seorang yang diberi kepercayaan untuk mengumpul dana bagi dua PRK itu, kerana kawasan terbabit bukan bawah bidang kuasanya sebagai pengerusi UMNO dan pengerusi Barisan Nasional Wilayah Persekutuan ketika itu.

“Lagipun beliau bukan bendahari (UMNO) seperti didakwa. Saya juga tidak dapat menerima keterangan Rizalman dan Zakaria…” kata hakim.

Rizalman Mokhtar, bekas pengarah jentera PRK Sungai Besar, dan ketua UMNO bahagian Simpang Renggam ketika itu, Zakaria Dullah, antara enam saksi pembelaan yang memberi keterangan.

Zaini berkata, pada pandangannya, keterangan mereka direka selepas kejadian itu dalam usaha menyokong kes pembelaan.

Menurutnya, jelas RM2 juta diberikan Chai kekal dalam akaun Tadmansori untuk manfaat tertuduh.

Katanya, tiada bukti bahawa Ku Nan mengeluarkan wang dari akaun itu untuk membiaya dua PRK berkenaan, walaupun sekiranya mahkamah menerima Rizalman serta Zakaria mendapat wang daripada tertuduh.

“Dakwaan beliau memberikan pendahuluan lebih RM2 juta untuk PRK itu sekadar alasan difikirkan kemudian.

“Jadi jelas tertuduh berselindung di sebalik Tadmansori untuk meraih hasil daripada perbuatan jenayahnya,” katanya.

No comments: