P. Pinang komited pastikan infrastruktur digital menyeluruh, berkualiti tinggi

 

Oleh B. Suffian

Pulau Pinang menjadi negeri pertama yang menguatkuasakan pemasangan infrastruktur komunikasi sebagai utiliti asas setaraf dengan bekalan air dan elektrik.

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) pada 17 Disember lalu telah memutuskan agar pihak pemaju kini diwajibkan untuk menyediakan infrastruktur telekomunikasi gentian optik di dalam mana-mana bangunan atau kawasan skim pemajuan baharu di seluruh negeri tersebut.

Jelas beliau, keputusan tersebut adalah bagi menyokong penggunaan jalur lebar berkelajuan tinggi di Pulau Pinang memandangkan penggunaan wayar jenis copper tidak lagi relevan.

“Selaras dengan matlamat gagasan Penang 2030, Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus komited memastikan penyediaan infrastruktur digital yang menyeluruh dan berkualiti tinggi bagi menampung keperluan norma baharu serta menyokong pemangkinan ekonomi digital di negeri tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Zairil, di bawah perancangan strategik Penang Connectivity Master Plan (PCMP), kerajaan negeri telah menggariskan keperluan untuk menguatkuasakan pemasangan infrastruktur komunikasi tetap sebagai salah satu infrastruktur asas yang telah diperuntukkan di bawah Undang-undang Kecil 25 dan 27 di bawah Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan.

Jelas beliau, Pulau Pinang sekali lagi menjadi peneraju dan perintis selaku negeri yang pertama di Malaysia yang melaksanakan dasar bagi mengiktiraf infrastruktur fiber gentian optik sebagai utiliti asas, setaraf dengan bekalan elektrik dan air.

Katanya, ini juga selari dengan aspirasi Kerajaan Persekutuan melalui pelaksanaan pelan infrastruktur digital iaitu Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Ujarnya, penguatkuasaan pemasangan infrastruktur komunikasi ini bukan sahaja menjadi pemboleh (enabler) utama dalam mencapai matlamat ketersediaan kelajuan gigabit ataupun Gigabit State yang pertama di Malaysia, tetapi dapat mempercepatkan proses pelaksanaan teknologi capaian 5G yang bakal direalisasikan.

“Dengan pelaksanaan dasar ini, Pulau Pinang bukan sahaja dapat membekalkan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi yang meluas kepada rakyat Pulau Pinang, tetapi juga memangkinkan sektor ekonomi digital yang disasarkan sebagai salah satu industri masa depan yang penting bagi negeri kita ini,” katanya.



No comments: