Kaum Cina tidak terima kerajaan PN, sokongan masih kepada PH


Biar pun Kerajaan Perikatan Nasional (PN) cuba menggambarkan Belanjawan 2021 dan program bantuan semasa pandemik Covid 19 diterima semua kaum namun hakikatnya, kaum Cina masih tidak menerima bentuk pemerintahan yang mengutamakan satu kaum semata-mata.

Bagi Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Selangor, Hee Loy Sian, masyarakat Cina masih tidak berpuas hati dengan pembelaan yang ditunjukkan oleh PN meski pun ada agensi tinjauan pendapat baru-baru ini mengatakan sokongan kaum itu mula condong kepada kerajaan.

"Umumnya kaum Cina tak suka kerajaan PN kerana lantikan menteri kabinet tidak saksama. Di mana ia tidak ikut bilangan kaum Cina di Malaysia.

"Di bawah kerajaan PN hanya seorang menteri kaum Cina. Ini memang masyarakat Cina tidak boleh terima. Mereka tidak puas hati terhadap keadaan ini.

"Juga banyak perkara yang menunjukkan PN ini tidak pelbagai. Mereka hanya fokus isu tertentu dan mereka macam give up sokongan Cina. Mereka tumpu kepada masyarat Melayu.

"Hal ini tidak boleh kerana negara ini negara majmuk. Perlu dapat sokongan semua pihak kalau kita mahu kerajaan yang stabil," katanya.

Dalam pada itu, Hee menegaskan sokongan Cina di Selangor kekal pada tahap melebihi 80% kepada Pakatan Harapan walaupun dua menteri PN yang mengkhianati KEADILAN, cuba untuk meraih sokongan di negeri itu.

Katanya, sokongan masyarakat Cina terhadap DAP, Amanah dan KEADILAN masih mantap seperti sebelum Pilihan Raya Umum ke 14 lalu.

"Saya masih yakin, di mana 90% sokongan Cina terhadap PH. Di Selangor, sokongan itu tidak pernah turun. Kita yakin sokongan kaum Cina akan kekal sehingga PRU 15," katanya lagi.

Sokongan Cina terhadap PN menjadi perbualan hangat baru-baru ini apabila terdapat kajian kononnya kaum itu mula mencari tapak politik baharu dan mula cenderung kepada Umno dan PN berdasarkan trend kemenangan pilihan raya kecil (PRK) sepanjang 2019 dan 2020.



No comments: