‘KITA BERSAMA ANWAR BUKAN KERANA NAMANYA, TAPI SEBAB AGENDA BESAR YANG DIPERTAHANKANNYA’


 1. AMANAH menegaskan sejak awal lagi, perjuangan bukan tentang wala’ kepada individu. Kesetiaan adalah kepada gagasan , ide dan komitmen perjuangan. Saya yakin semua pimpinan tertinggi AMANAH meyakini bahawa pemimpin boleh datang dan pergi tetapi prinsip perjuangan akan kekal dipertahankan.

2. Kebersamaan AMANAH dalam kesepakatan politik dengan PKR dan DAP adalah untuk mempertahankan agenda Reform dan ISLAH walaupun dalam banyak keadaan ia ‘merugikan’ AMANAH dari sudut sentimen dan emosi awam. AMANAH kekal menolak isu perkauman sempit dan jalur agama yang kasar dan keras dengan menegaskan prinsip Rahmatan Lil Alamin (RLA) sebagai ‘uncompromising principle’ (prinsip yang tidak boleh dikompromi) yang diimaninya.

3. Semasa menjadi kerajaan bermandatkan rakyat, dasar RLA berjaya dibawa sebagai dasar pentadbiran Islam yang diluluskan oleh Majlis Raja-Raja dan diperakui oleh Kabinet pada 25 Okt 2019. Ramai pihak mempolitikkan hasrat ini dengan fitnah dan tohmahan terhadap usaha murni ini.

4. Dasar RLA turut didokong oleh PKR dan DAP semasa dan selepas menjadi kerajaan. Konsep ISLAH dan ketegasan menolak perkauman sempit dari PKR dan DAP menyatukan kesatuan agenda PH dan mengikat komitmen setiap kepimpinan parti teras PH.

5. Sesiapa sahaja yang memimpin PH perlu ada komitmen tidak berbelah bagi kepada agenda besar pemulihan secara institusi (instituitional reform). DSAI telah memimpin agenda besar ini dan tetap istiqamah mempertahankan prinsip reform bersama Yb Mohammad Bin Sabu dan Yb Lim Guan Eng. Semasa Tun Mahathir mempengerusikan PH, ramai dari parti beliau sendiri iaitu BERSATU gagal memahami agenda besar ini dan hasilnya adalah pembelotan. Pembelotan mereka adalah kepada agenda besar dan kepada erti kesetiaan yang dikhianati. Mereka yang memilih untuk khianat bukan kita yang menghalau mereka!

6. DSAI kembali memimpin dan terbukti kesetiaan Presiden AMANAH dan Setiausaha Agung DAP telah mengukuhkan semangat agenda besar yang dibina sejak 1998 lagi. Pada saat agenda besar ini diuji, kekuatan kesetiaan di kalangan pemimpin besar kita adalah segala-galanya yang diperlukan oleh kita. Biarlah hendaknya jikalau nak berkawan dengan sesiapa pun dirunding dan dirujuk sesama kita dulu. Bukan kerana cemburu tetapi kerana nak menguji apakah mereka bersama kita dalam agenda besar yang pernah disabotaj oleh kawan sendiri semasa kita menjadi kerajaan dahulu.

7. Masa ini bukan untuk memberi tekanan, masa ini adalah untuk menyokong, membantu berganding bahu sehingga keputusan bersama sampai di penghujungnya. Saya yakin kita bersama kepimpinan DSAI di dalam keluarga besar ini bukan kerana namanya Anwar Ibrahim tetapi kita bersama kerana AGENDA BESAR yang beliau pertahankan, dipenjara kerananya dan menderita kerana beriltizam dengannya.

8. AMANAH lebih selesa dan yakin bahawa dasar RLA yang diusahakan seiring dengan agenda REFORM/ISLAH yang telah diinstitusikan perjuangannya sejak sekian lama dan terbukti kental cita-cita ini dibawah DSAI, Muhamad Bin Sabu dan Lim Guan Eng. Ahli setiap parti harus jelas perjalanan ini dan tak perlu tergesa-gesa menekan kepimpinan parti masing-masing dengan meletakkan tarikh dan usaha tertentu sebagai tanda kegagalan.

Akhirnya saya ingin berpesan kepada semua ahli parti teras PH bahawa : “Sesungguhnya jalan kita panjang, pacakkan layar yang kuat, cukupkan bekalan, kemudilah dengan cekap dan yakinlah perjalanan kita akan sampai jua ke destinasinya!

DS Dr Mujahid Yusof Rawa

Ahli Parlimen Parit Buntar

Naib Presiden AMANAH

20 Disember 2020.




No comments: