'HUTANG NEGARA AKAN JADI RM1.3 TRILION, MACAM MANA NAK BAYAR?'

 

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad meluahkan rasa curiga terhadap unjuran kerajaan berkenaan pemulihan ekonomi tahun depan.

Kerajaan meramal pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada kadar 4 ke 7.5 peratus.

Tetapi menurut Mahathir, ramalan ini “terlalu optimistik”, dengan hutang kerajaan dijangka mencecah RM1.3 trilion selepas pinjaman untuk melaksanakan belanjawan.

“Hasil kerajaan pasti menyusut semasa wabak ini. Tetapi kerajaan perlu tawarkan pakej rangsangan. Ini menelan banyak wang.

“Tambahan pula, kerajaan perlu membayar pinjaman dan mengurangkan wang pokok (pinjaman).

“RM35 bilion diperlukan untuk ini. Jumlah perbelanjaan caj ialah RM72.3 bilion, atau 30.6 peratus daripada perbelanjaan mengurus RM236.5 bilion.

“Saya harus akui, saya betul-betul takut. Ini ialah belanjawan gergasi, tetapi bolehkah kita cari duit untuk membiayainya? Hutang kerajaan akan menjadi RM1.3 trilion.

“Macam mana kita nak bayar?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, hasil kerajaan akan menyusut setelah perniagaan yang terjejas tidak dapat membayar cukai, atau membayar kurang kepada kerajaan.

Katanya, prestasi Petronas dan industri pelancongan adalah tidak memberangsangkan dan ini memberikan kesan kepada hasil kerajaan.

“Semua industri teruk terkesan. Saya tak fikir cukai korporat dan cukai pendapatan akan dapat mencapai separuh pun daripada angka normal ketika waktu biasa,” katanya.

Tegas Mahathir, pemulihan ekonomi tidak akan terjadi dalam kadar segera - sebaik negara memasuki tahun 2021.

“Bukan polisi yang menumbuhkan ekonomi, tetapi pelaksanaan polisi (itu sendiri).

“Pernah terjadi, projek berbilion ringgit tetapi tertangguh beberapa tahun.

“Kalau pelabur desak, dia akan berdepan penangguhan yang lebih lama lagi.

“Jadi janganlah sangka sebaik tiba 1 Jan, industri akan mula berjalan semula atau dilancarkan.

“Angan-angan bahawa pemulihan ekonomi akan berlaku segera sebaik wabak Covid-19 di atasi, tidak akan berlaku.

“Wabak ini takkan berakhir menjelangnya tahun baru,” tambahnya.

Dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz di parlimen baru-baru ini, pentadbiran Perikatan Nasional (PN) mengunjurkan hasil kerajaan akan meningkat ke RM236.9 bilion, berbanding jangkaan RM227.3 bilion untuk tahun ini.

Penganalisis juga turut menegaskan bahawa unjuran pertumbuhan KDNK antara 6.5 ke 7.5 peratus adalah tidak realistik.