Kerajaan perlu
pertimbangkan langkah peluasan moratorium, walaupun ia mungkin akan menyebabkan
penyusutan keuntungan untuk sektor perbankan di negara ini, kata Ketua
Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahli Parlimen Port
Dickson itu berkata, berdasarkan laporan yang diterima, keuntungan sektor
perbankan setiap tahun dianggarkan sekitar RM30 bilion, dan penyerapan sedikit
kos untuk memperluaskan moratorium tidak akan mengurangkan keuntungan secara
mendadak.
Tegasnya lagi, kajian
mendapati bukan sahaja golongan B40 yang terjejas teruk, malahan golongan M40
sudah mula bergelut dengan kos yang terpaksa ditanggung setiap bulan.
“Cuba lihat
keuntungan bank…dia tak ada beban. Keuntungan sebelum cukai pada suku tahun
pertama 2020 adalah RM8.5 bilion. Suku tahun kedua RM8.3 bilion. Keuntungan
untuk 2020 dijangka RM30 bilion.
“Dan bank ini tak ada
beban langsung. Tak boleh ke supaya diluaskan lagi moratorium sebab yang hadapi
masalah, golongan B40. Tapi sekarang M40 ini sudah bergelut, dan ramai di
kalangan mereka akan turun jadi B40.
Kalau masih M40,
mereka adalah M40 yang bergelut dengan tekanan kewangan,” katanya lagi.
Anwar, yang juga
Pengerusi Pakatan Harapan, berkata demikian sewaktu membahaskan Rang
Undang-undang Pembekalan (Belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat hari ini.
Datuk Seri Saifuddin
Nasution Ismail (PH-Kulim-Bandar Baharu) ketika bangun mencelah berkata, beliau
hampir pasti Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz
sewaktu menggulung nanti, akan menjawab bahawa kerajaan harus mengambil kira
masalah kecairan.
“Saya hampir pasti
Menteri Kewangan akan berkata, kalau lanjutkan tempoh moratorium, masalah
dengan bank ialah aktiviti principal mereka memberi hutang. Jadi kalau pinjaman
tak dibayar balik atas nama moratorium, bank akan hadapi masalah kecairan.
“Itu core business
dia. Dan itu akan memberikan kesan kepada rating agency, rating bank, dan juga
komitmen bank kepada pemegang saham,” katanya lagi.
Menjawab persoalan
itu, Anwar berkata, Kerajaan perlu terus memberi keutamaan menjaga kebajikan
rakyat, tatkala negara sedang dihimpit dengan masalah pandemik COVID-19.
“Saya nak dengar
jawapan seorang Menteri Kewangan, bukan seorang Pengurus Bank. Angka yang
disebut, exposure, katalah 5%. Itu hanya RM2.6 bilion berbanding keuntungan
RM30 bilion sektor perbankan,” katanya lagi.
Menyambung
perbahasan, Anwar berkata, beliau juga turut menzahirkan kegusaran terhadap
peningkatan perbelanjaan pembangunan (CapEx) dalam Belanjawan 2021, iaitu
sebanyak RM69 bilion.
Beliau berkata, tidak
ada masalah sekiranya projek mega seperti Lebuhraya Pan-Borneo diteruskan,
tetapi mungkin dapat dipertimbangkan sekiranya skalanya dikecilkan dahulu.
Ujarnya lagi, lebih
baik peningkatan perbelanjaan pembangunan itu diasingkan, dan dimasukkan ke
dalam Kumpulan Wang COVID-19.
“Saya usulkan RM19
bilion yang dimasukkan kepada Dana Pembangunan itu, mesti dipindahkan dan
diperbetulkan supaya dapat selesaikan masalah pengangguran, dan juga beberapa
kegiatan kecil-kecilan berkaitan pelancongan, pendidikan, kemudahan digital,
komputer untuk pembelajaran dalam talian dan sebagainya.
“Peruntukan yang
diwar-warkan sebagai Belanjawan COVID-19 ini tidak menepati kerana tak dapat
tangani masalah petani, termasuk penanam padi, nelayan dan jumlah besar yang
menganggur, atau yang diminat bekerja dekat rumah, tapi tidak diberi elaun
seperti bil elektrik, dan internet,” katanya lagi.