BELANJAWAN 2021 BUKTI UMNO TERUS KENA BULI, TAKKAN TAK RETI-RETI LAGI?

 

Semalam, melalui laman Facebooknya, Najib Razak mengeluh mengenai kedudukan BN yang tidak diberi sebarang peranan dalam penyediaan Belanjawan 2021.

Kata beliiau, walaupun BN merupakan sebahagian daripada kerajaan PN, tetapi tiada seorang pun wakil gabungan itu dilantik dalam Majlis Tindakan Ekonomi yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Sebagai membuktikan kata-katanya, Najib turut memaparkan keanggotaan Majlis Tindakan Ekonomi untuk menjelaskan dakwaan mengapa BN mengkritik Belanjawan 2021 sedangkan ia sebahagian daripada kerajaan PN.

Bagi memainkan peranannya membela dan memenuhi keperluan rakyat, menurut Najib lagi, BN akan menggunakan saluran perbahasan di Dewan Rakyat untuk tujuan tersebut.

Jika kita masih ingat, wakil UMNO hanya dijemput untuk memberi cadangan bagi penyediaan Belanjawan 2021 ini pada 1 November iaitu enam hari sebelum ia dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 6 November lalu.

Makna kata, sudahlah tiada wakil UMNO dan BN dalam Majlis Tindakan Ekonomi, dijemput untuk mengemukakan cadangan pula hanyalah di saat-saat akhir saja.

Jemputan itu tidak lebih sekadar melepaskan batuk ditangga kerana tidak mustahil ketika itu proses penyediaan teks belanjawan sudah pun 99 peratus siap disediakan.

Sebab itu, dua cadangan pokok yang dikemukan UMNO untuk Belanjawan 2021 – pengeluaran Akaun 1 KWSP sehingga RM10 ribu dan melanjutkan moratoriim pinjaman bank, langsung tidak dipedulikan kerajaan.

Dalam erti kata lain, menyisihkan suara dan peranan UMNO itu lebih membuktikan semakin masa berlalu, semakin parti itu dibuli oleh Bersatu dan PN.

Kedudukan UMNO dan BN yang mempunyai jumlah kerusi Parlimen terbesar dalam kerajaan PN tidak memberi makna walau sebelah mata sekali pun.

Sebelum ini, UMNO dibuli kerana diberi kementerian yang tidak penting, Muhyiddin melantik beberapa menteri UMNO ikut pilihannya sendiri, melantik hanya satu menteri kanan daripada UMNO, tetapi dua daripada Bersatu, memintas UMNO dalam PRN Sabah untuk merampas jawatan Ketua Menteri dan terakhir dilaporkan hanya sedia melantik Timbalan Perdana Menteri daripada UMNO jika calonnya bukan Zahid Hamidi.

Buli, buli, buli…..

Yang nyata dan tanpa keraguan lagi, perkembangan ini memungkinkan Muhyiddin terus mencari jalan untuk membuli lagi UMNO selepas ini bagi tujuan mengukuhkan kedudukan Bersatu.

Matlamat akhir Muhyiddin tentulah untuk menjadikan Bersatu sebagai pengganti kepada UMNO.

Maka, takkan UMNO masih tak reti-reti dan mahu terus dibuli lagi, lagi dan lagi oleh Muhyiddin dan Bersatu?

Belanjawan 2021 sebenarnya adalah medan terbaik untuk UMNO menamatkan pembulian itu dan sebelum Bersatu berjaya melangkah lebih jauh untuk mencapai apa yang dihasratkannya.

UMNO mesti terus berjuang mengangkat cadangannya sebelum ini sambil melakukan tekanan dalam perbahasan Belanjawan 2021 kali ini.

Najib sendiri dalam tulisan di media sosialnya mengatakan beliau akan terus berjuang dan melawan sehingga rakyat dapat memperolehi pelanjutan moratorium pinjaman bank.

Memang itulah yang sepatutnya dilakukan oleh Najib, UMNO dan BN, malah mereka mesti senada dengan Anwar Ibrahim yang dalam ucapan perbahasan semalam memberi amaran tidak akan menyokong kelulusan Belanjawan 2021 sekiranya kerajaan tidak melakukan sebarang pindaan.

Tiga perkara ditekankan Anwar perlu dipinda ialah moratorium, KWSP dan peruntukan besar untuk Jasa.

Sekiranya sehingga ke sudah kerajaan masih juga berdegil, pilihan yang terbaik dan wajar bagi Najib yang kini mengetuai BNBBC ialah mengajak seramai mungkin Ahli Parlimen BN untuk tidak menyokong kelulusan Belanjawan 2021.

Bukan saja dengan bertindak demikian akan membolehkan kerajaan dijatuhkan dan sama ada selepas itu bakal diadakan PRU atau tidak, yang penting belanjawan baru yang dibentangkan kemudiannya pastilah yang benar-benar pro sebagaimana keinginan BN sendiri.

Sekaligus juga, ia mampu meletakkan tanda titik kepada pembulian berterusan terhadap UMNO.

 (Shahbudindotcom 10/11/2020)