Daj ada Jabatan Penerangan pun takut lagi kena tubuh JASA
Ketakutan dari kalangan pemuka Perikatan Jahat, ketakutan untuk tumbang, ketakutan untuk jatuh.
- Kerajaan sudah punya RTM1, RTM2, Jabatan Penerangan, stesen-stesen radio, tetapi itu belum cukup untuk menyebar propaganda bagi menghilangkan ketakutan mereka.
- Kaedah pelaporan media-media arus perdana kelihatannya sedikit demi sedikit dijajarkan semula untuk kembali ke cara sebelum Mei 2018, nampaknya mereka tidak pernah belajar dengan kejatuhan Utusan Malaysia. Ini pun belum cukup untuk menyebar propaganda bagi menghilangkan ketakutan mereka.
- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pula menubuhkan apa yang dipanggil PeKT (Penggerak Komuniti Tempatan), yang diwujudkan mengikut kawasan pentadbiran Kerajaan Tempatan. Pertamanya ia jelas melanggar pemisahan tiga jenis kerajaan yang ada dalam negara kita iaitu Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan.
Sambil menafi PeKT mengambil-alih tugas Ahli Majlis, Zuraida Kamaruddin mendakwa kononnya PeKT lebih kepada kerja-kerja komuniti, bukankah itu kalau benar ia mengambil-alih peranan KRT-KRT dan MPKK-MPKK yang wujud bersepah di negara kita? Bertindih dan membazir! Kalau bukan komuniti maka berbalik ke asal, mengambil-alih tugas Ahli Majlis, khususnya di negeri-negeri yang tidak diperintah oleh Perikatan Nasional.
Dalam undang-undang, motif adalah yang utama, cakap dan tulis semua boleh buat. Bolehkah ada satu set “ahli majlis” yang lain dari Persekutuan? Atas apa nama sekali pun… Kerajaan Tempatan bukan wujud atas ehsan, ada Aktanya, Akta 171, hanya pihak berkuasa negeri boleh melantik Ahli Majlis.
Zuraida mewujudkan perjawatan PeKT mengguna peruntukan undang-undang mana? Sudah jelas PeKT itu ditubuhkan mengikut kawasan Kerajaan Tempatan, lingkungan pentadbiran yang pihak berkuasa negeri sahaja ada bidang kuasa.
Peruntukan elaun Ketua PeKT dan peruntukan tahunan itu pula datang dari kebenaran undang-undang mana? Sedang perjawatan itu sendiri adakah sesuatu yang diwartakan? Tidak lain tidak bukan ia adalah lantikan politik, itu pun mereka belum yakin ia cukup untuk menyebar propaganda bagi menghilangkan ketakutan mereka.
- Akhirnya, mengambil peluang dari pembentangan Bajet 2021, sedang perhatian banyak tertumpu kepada tentang apakah perancangan mereka untuk membantu rakyat dalam mendepani pandemik Covid-19, mereka cuba menyelit cadangan untuk menghidupkan kembali JASA (Jabatan Hal Ehwal Khas), yang sudah dikenal puluhan tahun di bawah pemerintahan Barisan Nasional dahulu sebagai Jabatan Propaganda Negara, Jabatan Indoktrinisasi Negara, ketakutan mereka terhadap bayang-bayang sendiri tidak padam-padam.
Tidak cukup dengan RTM1, RTM2, saluran-saluran radio, media-media arus perdana, PeKT juga, mereka belum yakin rakyat mampu dijinakkan, akhirnya JASA dihidupkan semula, dengan bajet yang berkali-ganda besar berbanding bajet tahunan JASA yang pernah wujud sebelum ini.
Berapa ramai dari kita yang membesar dengan masih membawa pengaruh doktrin JASA yang dahulu, bahawa hanya mereka yang memerintah yang betul, pembangkang ini sentiasa salah, pembangkang ini sentiasa jahat. Apakah JASA akan memberikan keyakinan kepada mereka bahawa ia cukup dalam menyebar propaganda bagi menghilangkan ketakutan mereka?
- Belum tentu cukup… Apakah nanti SOSMA akan digunakan seperti ISA dahulunya bagi menghapuskan terus ketakutan mereka?
Tidakkah kamu melihat? Tidakkah kamu memerhati? Bahawa jika ada manusia yang mempunyai ketakutan sebesar ini, merekalah manusia yang bersalah!