Akhrinya Yang Dipertuan Agong memberi perkenan kepada Anwar Ibrahim untuk mengadap baginda bagi mempersembahkan jumlah sokongan Ahli-Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baru.
Tarikh mengadap ditetapkan pada Selasa, 13 Oktober depan.
Anwar memaklumkan perkembangan menggembirakan daripada Istana Negara itu melalui kenyataan media yang disiarkan di laman sosialnya petang ini.
Anwar sepatutnya mengadap Agong pada 22 September lalu, tetapi telah ditangguhkan berikutan kegeringan yang dialami baginda.
Seterusnya pada 23 September, Anwar mengadakan sidang media berhubung rancangannya mengambil alih kerajaan itu melalui sokongan kukuh dan meyakinkan daripada Ahli-Ahli Parlimen.
Melalui pemakluman oleh Istana Negara kemudiannya, disahkan majlis mengadap itu memang telah ditetapkan, tetapi ditangguhkan ke suatu tarikh lain.
Dengan sudah ditetapkan tarikh mengadap ini, ia adalah suatu debaran bagi seluruh rakyat Malaysia menanti sebuah sinar yang lebih baik untuk negara ini.
Rata-rata rakyat juga gembira dengan perkhabaran baik ini dan di mana-mana kedengaran mereka menjunjung kasih kepada Agong atas perkenaan untuk Anwar mengadap baginda itu.
Anwar pula, sudah tentu mempunyai jumlah sokongan yang mencukupi dan jika tidak, sudah tentu beliau tidak memohon untuk mengadap Agong.
Apa pun, semoga Selasa depan selepas majlis mengadap Agong itu nanti, negara ini akan bergerak ke arah yang lebih baik, bukan saja dari segi kesejahteraan rakyatnya, malah juga daripada pandangan dunia.
Sama-sama kita mendoakan, mudah-mudahkan laluan Anwar sebagai PM9 sentiasa dipermudahkan.
(Shahbudindotcom 08/10/2020)